
BERKALI-KALI telah kami suarakan, dari segenap penjuru mimbar dan dewan, dari pentas rasmi hingga ke lorong-lorong rakyat bahawa suara kami bukan suara kebencian, bukan semboyan rasisme yang membuta tuli. Tetapi suara ini lahir dari tanggungjawab sejarah dan amanah darah keturunan yang tidak sanggup kami khianati. Kami bukan membenci bangsa lain yang turut mencari teduh di bumi ini, tetapi kami menegur kerana kami cinta. Cinta pada warisan, pada tanah leluhur, pada maruah yang diwariskan sejak zaman Parameswara menanam panji kedaulatan di muara Melaka.
Kami tidak menuntut lebih daripada yang sewajarnya. Kami hanya ingin mengingatkan, bahawa bangsa Melayu adalah bangsa asal, pemilik sah yang mengasaskan tamadun di tanah ini, jauh sebelum wujudnya sempadan politik dan perjanjian antarabangsa. Ini bukan dongeng sejarah, tetapi fakta yang dicatat oleh tinta Perlembagaan Persekutuan sendiri. Lihatlah Perkara 153, yang memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, serta hak-hak sah kaum-kaum lain. Ini bukan diskriminasi, ini adalah keadilan berdasarkan sejarah. Ini bukan keangkuhan, ini adalah pelindung dari penindasan terbalik yang sedang perlahan-lahan merayap ke akar tamadun.
Dalam menegaskan hak warisan ini, kami tidak pernah melupakan saudara-saudara Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang turut menjadi tiang seri kepada negara ini. Mereka juga pewaris sah tanah air, yang kedudukan mereka turut dijamin dan diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Perkara 153 yang memperuntukkan perlindungan dan keistimewaan kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak setaraf dengan orang Melayu di Semenanjung. Dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak-hak mereka terpelihara bukan sahaja sebagai formaliti perundangan, tetapi sebagai pengiktirafan terhadap akar sejarah mereka yang mengakar dalam bumi Borneo sejak ribuan tahun. Maka apabila kami bersuara, ia bukan suara bangsa Melayu semata-mata, tetapi suara seluruh rumpun Bumiputera, dari Tanah Melayu hingga ke Banjaran Crocker dan Sungai Rajang, yang mempertahankan hak dan warisan yang telah dimeterai oleh sejarah dan dijanjikan oleh undang-undang.
Namun, apabila kami bersuara, apabila kami mempertahankan hak yang telah diikrarkan oleh pemimpin-pemimpin pelbagai kaum sewaktu negara ini dimeterai sebagai Persekutuan yang merdeka kami dilabel sebagai rasis. Mereka yang tidak bersuara, tetapi bertindak dengan licik, membawa agenda yang menghakis asas perjanjian, jarang dituduh sedemikian rupa. Mereka yang menolak konsep kontrak sosial, yang diasaskan atas semangat muafakat di mana bangsa Melayu menerima kerakyatan kaum imigran dengan hati terbuka, asalkan hak pribumi terus terpelihara mereka inilah yang mencabar keharmonian sebenar.
Sejarah telah mencatat dengan jujur. Rundingan kemerdekaan antara Tunku Abdul Rahman dan wakil-wakil kaum bukanlah satu penyerahan mutlak. Ia adalah perjanjian suci antara pewaris bumi dan pendatang yang diterima dengan hati terbuka. Tunku tidak menjual bangsa, tetapi membuka pintu dengan syarat: bahasa Melayu dimartabatkan, Islam dijulang sebagai agama Persekutuan, hak Raja-raja dikekalkan, dan kedudukan istimewa Melayu diiktiraf. Maka setiap cubaan untuk merungkai asas ini, sama ada atas nama kesamarataan atau liberalisme, adalah satu pengkhianatan terhadap asas negara ini sendiri.
Kami tidak menolak kemajmukan. Kami tidak anti sesiapa. Tetapi kami mahu bangsa kami sedar, bahawa toleransi tanpa sempadan adalah racun yang membunuh dalam diam. Kami tidak boleh terus lena diulit slogan kesamarataan, sedangkan hak kami diceroboh sedikit demi sedikit, sedangkan warisan kami dipersoalkan secara halus dalam seminar dan media. Apakah kami perlu berdiam diri? Apakah kami perlu menjadi bangsa yang meminta izin di rumah sendiri?
Jika mempertahankan hak bangsa disebut rasis, maka biarlah tuduhan itu dilempar, kerana kami tidak gentar berdiri di atas kebenaran. Kami tidak menuntut keistimewaan untuk menindas, tetapi untuk bertahan. Kami tidak menuntut penghormatan tanpa jasa, tetapi kerana warisan ini dibina atas darah dan air mata nenek moyang kami. Ini tanah kami, bukan sekadar pada peta, tetapi pada jiwa, pada nadi, pada setiap helai rumput dan selaut sejarah yang menyuburkannya.
Dan jangan ada yang lupa, bahawa dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, ‘Melayu’ bukan hanya sekadar satu kaum, tetapi ditakrif sebagai yang menganut agama Islam, mengamalkan adat Melayu, dan bertutur dalam bahasa Melayu. Maka hilang Islam, luntur adat, tercemar bahasa maka hilanglah keMelayuan itu sendiri. Inilah akar kami, dan akar ini tidak boleh dicabut tanpa menumbangkan seluruh pohon bangsa.
Bukan kami rasis. Kami hanya menjaga apa yang diamanahkan oleh sejarah, oleh Perlembagaan, dan oleh darah moyang yang tidak pernah meminta balasan, melainkan agar tanah ini terus menjadi tanah anak cucunya. Ini bumi warisan. Dan kami tuan kepada warisan itu.
DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa – HARAKAHDAILY 30/4/2025











