Kelantan jadi hab industri sektor pembuatan

Destinasi pelaburan kompetitif, realisasi RM1.21 bilion

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan kini muncul sebagai hab perindustrian apabila Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM1.21 bilion, yang sebahagian besarnya melibatkan sektor pembuatan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukan negeri sebagai destinasi pelaburan kompetitif di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Menurut beliau, antara penyumbang utama ialah projek loji janakuasa hidro mini berkapasiti 84 megawatt (MW) di Kuala Krai yang telah memulakan kerja tanah.

Selain itu katanya, pembangunan Pusat 3S Automotif (jualan, servis dan alat ganti) di Taman Halal Pasir Mas dijangka beroperasi pada suku keempat tahun ini.

“Kedua-dua projek berimpak tinggi ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan berkualiti, selaras dengan agenda pembangunan inklusif ECERDC,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan pertama bagi tahun ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat.

Menurutnya lagi, pelaburan ini turut membuktikan bahawa Kelantan bersedia menerima pembangunan berskala besar, termasuk pelaburan berjumlah RM290 juta yang dijangka mewujudkan lebih 650 peluang pekerjaan.

Dalam masa sama, katanya, kemajuan ketara turut dicatat dalam pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu, dengan kerja-kerja struktur utama ‘cable-stayed’ merentasi Sungai Kelantan telah dimulakan pada April lalu.

Jambatan tersebut bakal menjadi laluan strategik yang menghubungkan pusat bandar Kota Bharu dengan kawasan pembangunan baharu di Palekbang.

Ia sekali gus mampu mengurangkan kesesakan trafik terutama di Jambatan Sultan Yahya Petra.

“Jambatan ini dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan daerah Tumpat dan Kota Bharu,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Baidzawi berkata, ECERDC turut memperkukuh taraf sosioekonomi luar bandar melalui Program Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Machang.

Katanya, program itu dilaksana dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Awang.

“Projek fertigasi cili menggunakan teknologi pintar seluas kira-kira 23.7 hektar ini menyasarkan pendapatan bulanan mampan sehingga RM2,000 kepada 100 peserta,” katanya.

Menurut beliau, ECERDC turut melaksanakan Projek Pengukuhan Industri Tenusu Kambing Kelantan dengan menyiapkan dua Pusat Pengumpulan Susu Kambing (GMCC) di Ketereh dan Pasir Puteh.

Tambahnya, inisiatif itu bertujuan meningkatkan pengeluaran susu segar tempatan, mengurangkan kebergantungan terhadap import serta memperkukuh tahap sara diri industri tenusu negeri. – HARAKAHDAILY 30/4/2025

- Advertisement -