Terengganu larang vape demi generasi akan datang

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Larangan penjualan dan penajaan vape yang akan berkuat kuasa di Terengganu mulai 1 Ogos ini merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam menjunjung Maqasid al-Syariah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia prinsip utama dalam pentadbiran Islam yang menekankan pemeliharaan nyawa, akal dan keturunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu menjelaskan, langkah itu selari dengan tuntutan Islam agar segala bentuk kemudaratan dicegah sebelum merebak dan merosakkan masyarakat.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita wajib memelihara nyawa, akal dan keturunan sebagaimana dituntut dalam Maqasid al-Syariah.

“Tindakan ini bukan untuk menyusahkan rakyat, tetapi demi memastikan rahmat dan kebaikan jangka panjang buat seluruh negeri dan negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khalil yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, realitinya kesan buruk penggunaan vape semakin terbukti terutama melibatkan golongan muda di sekolah.

“Menurut laporan KKM, sehingga 30 September 2024, sebanyak 41 kes penyakit E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) telah dilaporkan di negara ini, dengan kos rawatan dianggarkan sebanyak RM150,892.11 bagi setiap pesakit.

“Jika langkah pencegahan tidak diambil, beban kos rawatan dijangka melonjak ke paras RM368 juta setahun menjelang 2030.

“Terkini, beberapa hospital kerajaan melaporkan peningkatan kes remaja yang mengalami komplikasi serius seperti halusinasi dan kebocoran paru-paru akibat penggunaan vape yang tidak terkawal. Apakah kita mahu terus membiarkan ‘racun’ ini berlegar di tangan generasi muda kita?” soalnya.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri turut menawarkan bantuan kepada pengusaha vape terkesan melalui program di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), agar mereka dapat meneruskan perniagaan dalam bidang yang lebih lestari.

“Saya menyeru seluruh lapisan masyarakat khususnya ibu bapa, pendidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak berautoriti untuk bersama-sama mendukung usaha ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2025

- Advertisement -