
KANGAR: Ketua Ameerah Negeri Perlis menyatakan sokongan padu terhadap hasrat kerajaan negeri untuk melarang penjualan vape, dalam usaha melindungi kesihatan dan akhlak generasi muda daripada terus dirosakkan.
Puteri Fatin Nasyuhada Megat Kohamad Halim berkata, trend penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan perlu dibendung dengan tindakan segera dan tegas.
“Kami di Ameerah Perlis melihat fenomena ini sebagai satu ancaman serius kepada masa depan anak-anak kita. Vape bukan sahaja memudaratkan kesihatan, bahkan merosakkan akhlak serta melemahkan jati diri generasi akan datang,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, langkah proaktif kerajaan negeri yang mahu merujuk Jabatan Mufti Negeri Perlis untuk mendapatkan pandangan hukum syarak sebelum menggubal dasar pengharaman penuh terhadap jualan vape di negeri ini, amatlah disokong.
Tindakan ini katanya, bukan sahaja berlandaskan kepentingan kesihatan awam, malah menepati tuntutan agama yang mengharamkan perkara memudaratkan.
Sebelum ini, dua insiden membabitkan pelajar sekolah yang terjatuh dari bumbung sekolah kerana dipercayai khayal akibat penggunaan vape, selain kejadian pelajar diserang sawan serta berbuih mulut selepas menghisap vape di tandas sekolah, menggemparkan masyarakat Perlis.
Susulan itu, kerajaan negeri telah mengambil langkah serius untuk memperketat kawalan serta mempertimbangkan pengharaman sepenuhnya penjualan produk tersebut.
Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu kenyataan sebelum ini juga telah menegaskan bahawa penggunaan vape adalah haram kerana ianya membawa kemudaratan jelas kepada diri sendiri dan masyarakat, berdasarkan pandangan para pakar perubatan.
Puteri Fatin Nasyuhada turut menyeru ibu bapa, guru, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh masyarakat untuk berganding bahu menyedarkan anak muda tentang bahaya vape dan rokok elektronik.
“Larangan ini tidak akan berjaya sekiranya kita tidak bersama-sama memainkan peranan. Setiap pihak perlu mendekati anak-anak kita dengan kasih sayang dan pendidikan, bukan sekadar menghukum,” tegas beliau.
Beliau juga mencadangkan agar program kesedaran mengenai bahaya vape diperluaskan ke semua sekolah di Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan agensi-agensi berkaitan.
Katanya lagi, Ameerah Perlis bersedia untuk turun ke lapangan bagi membantu kerajaan negeri dalam mengadakan kempen penerangan dan pendidikan kesihatan kepada pelajar serta remaja di seluruh negeri.
Ujarnya lagi, Ameerah Perlis beriltizam untuk terus mendukung setiap usaha yang memelihara akhlak dan kesihatan masyarakat, selari dengan prinsip perjuangan Islam yang mementingkan kesejahteraan ummah.
“Kami percaya bahawa menyelamatkan satu generasi adalah menyelamatkan masa depan umat. Dengan kerjasama semua pihak, kita mampu membanteras gejala vape dan membentuk generasi yang sihat, kuat dan berakhlak mulia,” tambahnya.
Kerajaan Negeri Perlis dijangka akan mengumumkan keputusan rasmi mengenai larangan penjualan vape selepas selesai mendapatkan pandangan daripada Jabatan Mufti Negeri dalam masa terdekat. – HARAKAHDAILY 29/4/2025




















