
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong usaha ditunjukkan Kerajaan Negeri Terengganu yang akan melaksanakan Larangan Penjualan Produk Rokok Elektronik di semua premis perniagaan berkuatkuasa 1 Ogos 2025.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, perkara sebegitu memerlukan langkah tegas daripada kerajaan negeri demi memastikan prevalens perokok dan penghisap rokok elektronik khususnya generasi muda terus berkurangan.
“Bahkan juga kos merawat penyakit akibat daripada rokok lebih tinggi berbanding nilai cukai yang dikutip daripada produk yang sama,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 21 Disember 2015 juga telah memberikan simpulan kemas terhadap status pengharaman rokok elektronik itu.
“Justeru, mengapa larangan ini perlu ditangguhkan lagi selepas hampir satu dekad keputusan terhadapnya telah dijelaskan Jawatankuasa Fatwa?
“Masanya sudah tiba untuk Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan melakukan tindakan yang tegas terhadap produk rokok biasa mahupun elektronik.
“Kandungan yang ada dalam rokok elektronik juga merbahaya dan boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan awam,” terang beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.
Tambahnya, Dewan Ulamak PAS Pusat turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan semula tindakan menyahklasifikasi nikotin sebagai racun yang dilakukan sebelum ini.
“Di sini isu utama yang gagal ditangani meskipun Menteri sudah bertukar tangan. Malah, sudah sampai dasar Generasi Penamat Rokok (Generational Endgame) diperhalusi semula sebagai langkah strategik melahirkan generasi bebas rokok.
“Dewan Ulamak PAS Pusat mengharapkan agar tekad politik yang sama daripada Kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan agenda besar ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2025











