
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis telah membentangkan lebih 10 projek utama kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan sokongan dan pembiayaan daripada Kerajaan Pusat untuk pelaksanaan di negeri ini.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, antara projek yang dikemukakan termasuk pembangunan infrastruktur Pelabuhan Sanglang serta pembinaan kolam tebatan banjir di Chuping.
“Alhamdulillah, respon yang diberikan Perdana Menteri sangat positif. Boleh dikatakan semua kementerian sudah dimaklumkan mengenai projek-projek ini dan mereka memberikan kerjasama yang baik,” katanya kepada media.
Perkara tersebut dinyatakan dalam sidang media selepas Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025M di Dewan 2020, di sini malam tadi.
Antara projek lain yang turut dipohon jelas beliau, adalah pembinaan jalan empat lorong ke Padang Besar, penaiktarafan Tasik Melati, pemasangan pagar di kawasan Free Flow (bebas cukai) Wang Kelian serta pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat di lokasi strategik.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri turut membangkitkan isu Sekolah Kebangsaan Chuping serta cadangan membangunkan sekolah sukan yang sebelum ini tergendala.
“Apabila Perdana Menteri sendiri memberi jawapan, kita yakin bahawa projek sekolah sukan ini akan disiapkan secepat mungkin, insya-Allah,” tambah beliau.
Dalam perkembangan lain, Perlis turut mencatat sejarah apabila dipilih menjadi tuan rumah bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1446H/2025M, bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Majlis perasmian berlangsung malam tadi dengan kehadiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis.
Juga Mufti Negeri Perlis, Dato’ Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee.
MTHQK 2025 menyaksikan penyertaan seramai 109 peserta dari seluruh negara, melibatkan 28 peserta kategori Tilawah (14 Qari dan 14 Qariah termasuk seorang Johan Menunggu) serta 81 peserta dalam kategori Hafazan.
Penilaian pertandingan dilakukan oleh seramai 26 orang jemaah hakim yang diketuai oleh Ketua Pengarah JAKIM.
Selain hadiah berbentuk wang tunai, cenderamata, piala, dan sijil penyertaan, para pemenang MTHQK tahun ini turut menerima hadiah tambahan berupa 1 dinar emas daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), melibatkan tajaan keseluruhan bernilai RM16,000.
Johan kategori Tilawah dan Hafazan peringkat kebangsaan tahun ini akan mewakili Malaysia di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran para pegawai kanan JAKIM, Setiausaha Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta wakil-wakil agensi berkaitan.
MTHQK 2025 di Dewan 2020, Kangar ini berlangsung semalam hingga 2 Mei 2025. – HARAKAHDAILY 28/4/2025




















