Larangan vape: Keputusan berat demi masa depan anak kita

- Advertisement -

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai anak muda yang mula menggunakan rokok elektronik (vape). Walaupun ia dianggap sebagai alternatif kepada rokok, vape sebenarnya membawa pelbagai risiko kesihatan yang serius.

- Advertisement -

Antara kesannya, penggunaan vape boleh menyebabkan kerosakan pada organ seperti hati dan buah pinggang, akibat logam berat seperti nikkel dan plumbum yang terkandung dalam cecair vape.

Lebih membimbangkan, terdapat juga cecair vape yang mengandungi bahan berbahaya seperti ‘magic mushroom’ yang dihasilkan daripada ganja sintetik. Penggunaan bahan ini boleh menyebabkan keracunan teruk, malah ada yang boleh mengalami sawan akibatnya.

Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia pernah memberi amaran tentang risiko cecair vape berkenaan yang boleh menyebabkan kecelaruan mental dan tingkah laku yang tidak normal pada penggunanya.

Semalam, pengusaha vape di negeri ini menyuarakan rasa kecewa dan kebimbangan mereka terhadap kenyataan Kerajaan Negeri Terengganu yang akan melaksanakan larangan penjualan vape.

Penguatkuasaan di semua premis perniagaan dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri Terengganu akan bermula 1 Ogos ini. Mereka risau pendapatan akan terjejas dan ada yang takut kehilangan pekerjaan.

Namun di sebalik semua kegusaran ini, ada satu persoalan besar yang perlu kita renungkan bersama, apakah nilai sebenar kesihatan generasi masa depan kita?

Untuk pengetahuan umum, larangan vape di Terengganu bukanlah keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa. Sejak tahun 2015, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa vape adalah haram.

Terengganu pernah mencadangkan larangan ini, tetapi ia tertangguh beberapa tahun. Namun kini, dengan kepimpinan yang baru, keputusan ini akhirnya diambil demi menyelamatkan lebih ramai orang, terutama golongan muda yang menjadi sasaran utama pemasaran vape.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri menyatakan bahawa larangan ini akan diteruskan walaupun berisiko menjejaskan sokongan politik, demi kesihatan generasi akan datang jauh lebih penting.

Keputusan itu juga mendapat sokongan daripada pakar perubatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sendiri mendedahkan bahawa produk vape mengandungi 65 peratus bahan berbahaya yang boleh merosakkan tubuh.

Bahkan negeri-negeri lain, satu demi satu, mula mempertimbangkan langkah sama. Ini bukan isu Terengganu sahaja. Ini soal negara dan umat.

Walaupun larangan ini memberi kesan kepada pengusaha vape, kerajaan negeri tidak membiarkan pengusaha vape terkapai-kapai.

Peluang baru dibuka melalui program Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) yang menawarkan penyertaan dalam kursus-kursus keusahawanan serta peluang perniagaan bagi membantu mereka beralih kepada sektor perniagaan yang lebih mampan dan selamat.

Mungkin hari ini kita kehilangan satu sumber rezeki, tetapi mungkin juga hari ini adalah titik mula kepada rezeki yang lebih bersih, lebih diberkati.

Perubahan memang sukar, tetapi lebih sukar lagi jika kita menangguhkan kebenaran hanya kerana takutkan kesulitan sementara. Hari ini kita berkorban sedikit supaya anak-anak kita dapat hidup lebih sihat dan selamat di masa depan.

Larangan vape di Terengganu bukan sekadar soal politik, tetapi mengenai pilihan yang sukar untuk kebaikan bersama. Semoga kita semua dapat menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan bersatu untuk masa depan yang lebih cerah bagi generasi muda Malaysia. – HARAKAHDAILY 28/4/2025

- Advertisement -