Usaha pengeluaran padi demi jaminan makanan negara

Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu memberi tumpuan kepada usaha pengeluaran padi dalam memastikan jaminan keselamatan bekalan makanan negara (food security) terpelihara, meskipun melibatkan kos yang tinggi.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, usaha itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada beras import dari luar negara.

“Bayangkan kalau kita bergantung kepada bekalan beras import dari luar negara. Kalau negara yang eksport beras kenakan sekatan tak mahu jual beras kepada kita atas apa alasan sekalipun, apa kita nak buat? Lemah lutut kita tak makan nasi.

“Askar yang nak berperang pertahankan negara pun tak larat nak angkat senjata sebab tak makan nasi,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Beliau berkata, menjadi polisi kebanyakan negara untuk memastikan keperluan makanan rakyat sendiri mencukupi sebelum mengeksport ke negara lain.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai persoalan yang pernah ditanya kepadanya dari seorang bekas pemimpin negara ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, mengapa Terengganu masih menumpukan kepada penanaman padi walaupun ia tidak menguntungkan dan memerlukan kos pembangunan yang tinggi.

“Kerajaan telah belanjakan begitu banyak kos untuk pembangunan infra, bantuan input dan subsidi. Kalau kita import saja beras dari luar bukankah lebih murah?

“Kita akui tanpa subsidi sama ada subsidi harga padi atau subsidi bahan input, pesawah tak akan mampu ‘survive’. Pembangunan infrastruktur tanaman padi seperti empangan dan tali air pula melibatkan kos yang sangat besar sehingga beribu juta ringgit.

“Dari segi kos, adalah jauh lebih murah untuk kita import saja beras dari luar negara. Tapi tetap kita perlu tumpu kepada usaha pengeluaran padi beras negara sebagai food security atau jaminan keselamatan bekalan makanan negara walaupun melibatkan kos yang tinggi,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2025

- Advertisement -