
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mempersoalkan ketegasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengambil tindakan terhadap isu yang dianggap kecil, serta mengabaikan perkara melibatkan maruah negara.
Timbalan Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) GAMIS, Muhammad Nasrul Rahman Amran berkata, tindakan SKMM terhadap seorang individu, Alif Ahmad yang sekadar menyatakan hasrat untuk membuat semakan latar belakang seorang ahli politik amat menghairankan.
“Makin dibiarkan makin menjadi-jadi. Baru-baru ini tular satu kenyataan Facebook dari seorang saudara kita bernama, Alif Ahmad. Beliau menyatakan ingin membuat satu semakan latar belakang kepada seorang ahli politik.
“Tetapi saya pelik, kenapa tiba-tiba SKMM mengambil perkara ini sangat serius seolah-olah perkara ini satu jenayah dan seolah-olah perkara ini melanggar akta komunikasi dalam negara kita.
“Saya pelik kerana banyak lagi isu-isu dalam negara kita ini yang patut dipandang serius oleh Menteri Komunikasi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.
Beliau turut membangkitkan isu berkaitan Jalur Gemilang dan mempersoalkan ke mana hilangnya tindakan tegas pihak berwajib apabila berlaku kesilapan membabitkan lambang negara itu.
“Seperti contoh yang terdekat yang saya boleh bagi berkenaan isu Jalur Gemilang. Di manakah tindakan yang sepatutnya pada mereka, di manakah sepatutnya tindakan Menteri Komunikasi?
“Adakah hanya perlu memberi taklimat khas, adakah itu sudah cukup?” persoalnya.
Muhammad Nasrul turut memberi amaran supaya pihak berkuasa tidak memandang rendah suara mahasiswa.
“Jangan mencabar mahasiswa, jangan sampai kami turun ke lapangan, jangan sampai kami ingin berjumpa dengan menteri-menteri dan jangan mencabar kemarahan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa GAMIS akan mengeluarkan kenyataan media lanjut dalam masa terdekat bagi mengulas perkembangan tersebut. – HARAKAHDAILY 28/4/2025











