TMM 2026: Perlis perkenal produk pelancongan baharu

Abu Bakar Hamzah
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis sedang merangka inisiatif baharu dalam sektor pelancongan sebagai usaha merancakkan lagi industri tersebut menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Abu Bakar Hamzah, tumpuan kali ini adalah kepada pembangunan pelancongan berimpak tinggi yang mampu memberi pulangan hasil serta kesinambungan kemeriahan pelancongan di negeri ini.

“Fokus akan diberikan kepada lokasi baharu yang lebih segar seperti di kawasan Wang Gunung, Banjaran Nakawan bermula dari Kompleks Eko Pelancongan Bukit Ayer ke Wang Ulu merangkumi jarak sekitar 17 kilometer,” ujar beliau semasa sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Katanya, kawasan berpotensi itu akan diperkenalkan sebagai destinasi baharu bagi pelbagai komponen pelancongan termasuk agro pelancongan, pelancongan sukan dan eko pelancongan.

Menurutnya, antara aktiviti yang bakal dianjurkan di kawasan tersebut termasuk pertandingan seni suara burung, golf, sukan berkuda, pertunjukan pesawat ringan microlight, acara berbasikal serta Perlis Cyclo Fest dan Nakawan ULTRA Marathon yang mendapat pengiktirafan media antarabangsa serta dinobatkan sebagai laluan denai ketiga tercantik di Asia oleh Time Out Asia.

“Selain itu, kita akan memberi nafas baharu kepada lokasi-lokasi yang telah lama wujud seperti Taman Ular dan Reptilia, Taman Buah-buah Eksotik, Taman Herba, Kompleks Basikal Lasak, Bukit Ayer Glamping, Nakawan Basecamp, Litar Lumba Motocross dan Pusat Kecemerlangan harumanis,” tambah beliau.

Abu Bakar turut menekankan penglibatan aktif komuniti setempat khususnya dalam penghasilan produk berasaskan herba yang berpotensi besar di kawasan Banjaran Nakawan iaitu banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia.

Katanya, dalam usaha memperkayakan pengalaman pelancong, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan pelancongan gastronomi yang memberi fokus kepada sajian makanan dan minuman tempatan serta antarabangsa sebagai satu lagi tarikan pelancongan di Perlis.

Terdahulu, hampir sejuta pengunjung direkodkan melawat Perlis dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, mencerminkan pertumbuhan positif sektor pelancongan negeri ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut bertitah bahawa Perlis sedang mengalami pelbagai perubahan dan kemajuan dalam sektor pelancongan yang wajar dipertingkatkan. – HARAKAHDAILY 25/4/2025

- Advertisement -