Binaan kafe tidak jejas struktur asal Gua Cenderawasih

Asrul Aimran Abd Jalil
- Advertisement -

KANGAR: Pembinaan kafe baharu berdekatan Gua Cenderawasih, di sini tidak akan menjejaskan struktur asal gua tersebut, malah segala aspek pemeliharaannya akan terus diberi perhatian sewajarnya.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil menjelaskan bahawa Gua Cenderawasih merupakan salah satu destinasi pelancongan yang semakin mendapat tempat di hati pengunjung, bukan sahaja dari kalangan anak tempatan, bahkan juga pelancong dari luar negeri.

Menurut beliau, pendekatan baharu sedang diambil dengan menerima permohonan daripada syarikat tempatan,  untuk membina sebuah kafe bertemakan suasana dalam gua bagi menambah nilai tarikan pelancongan di kawasan tersebut.

“Konsep kafe ini adalah berasaskan makan dan minum dalam suasana seperti berada di dalam gua. Ini akan memberi satu pengalaman baharu kepada pengunjung,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Tambahnya lagi, pihak kerajaan negeri turut mengambil maklum akan kebimbangan yang dibangkitkan oleh masyarakat, terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar, serta telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan untuk memberi penjelasan.

“Kami memberi jaminan bahawa struktur batu dan gua berkenaan tidak akan disentuh atau diubah sama sekali.

“Kawasan tersebut akan sentiasa dipelihara dan dijaga dengan baik, seiring dengan hasrat untuk mengekalkan nilai geotapak negeri Perlis ini untuk generasi akan datang,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Asrul turut menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebersihan dan keindahan kawasan pelancongan sentiasa terpelihara.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa melaksanakan penyelenggaraan kawasan awam serta menyediakan kemudahan asas yang lengkap dan selesa seperti tandas awam, papan tanda, laluan pejalan kaki dan tempat letak kereta,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa aspirasi ‘Perlis Bersih’ yang sedang giat dipraktikkan oleh PBT turut menyumbang kepada daya tarikan pelancongan negeri. – HARAKAHDAILY 24/4/2025

- Advertisement -