
TANAH MERAH: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan semalam menyaksikan dua anak kepada Ahli Parlimen PAS muncul sebagai pelajar terbaik di sekolah masing-masing di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Nur Raudhatul Jannah Khairil Nizam, anak kepada Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, mencatat sejarah membanggakan apabila memperoleh keputusan 11A dan diumumkan sebagai pelajar terbaik Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah.
Selain cemerlang akademik, Nur Raudhatul Jannah telah khatam hafazan 30 juzuk al-Quran dan memiliki syahadah bagi 10 juzuk.
Menurut Nur Raudhatul Jannah, kejayaannya banyak bergantung kepada pengajaran guru dalam kelas serta amalan doa dan solat hajat yang berterusan.
Khairil Nizam menzahirkan rasa syukur atas kejayaan anaknya dan merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, terutama Pengetua sekolah, Ustaz Azhar Mat Yusof, yang memainkan peranan penting dalam membentuk kecemerlangan anaknya.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua guru yang banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar sepanjang pembelajaran.” katanya.

Sementara itu, Mujiburrahman Ahmad Fadhli, anak kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, turut mengukir kejayaan apabila diumumkan pelajar terbaik Maahad Tahfiz al-Quran dan Qiraat Pulai Chondong, dengan memperoleh A+ bagi semua 9 mata pelajaran yang diambil.
Beliau sebelum ini pernah meraih anugerah pelajar terbaik Peperiksaan SMTQ 2023 Yayasan Islam Kelantan dan berkongsi rahsia kejayaannya terhadap usaha berterusan menelaah nota serta mengikuti kelas tambahan bersama guru-guru luar.
“Saya berusaha manfaatkan sebaiknya sesi pembelajaran di sekolah dan juga ulang kaji tambahan di luar waktu kelas,” ujarnya yang juga khatam hafazan 30 juzuk Al-Quran.
Ustaz Ahmad Fadhli turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pendidik, terutama Pengetua Ustaz Suhaimi Sulaiman, yang memainkan peranan penting dalam mendidik dan membimbing anaknya sehingga meraih keputusan cemerlang.
Pencapaian ini memberi gambaran jelas bahawa sistem pendidikan tahfiz di bawah YIK bukan sahaja mampu melahirkan huffaz al-Quran, malah membuktikan kebolehan bersaing dan cemerlang dalam arus pendidikan perdana.
Kejayaan gandingan hafazan dan akademik ini merupakan hasil pendekatan bersepadu YIK yang terus relevan dan diyakini dalam membina generasi berilmu, berakhlak serta bersedia memimpin masyarakat pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 25/4/2025











