
KUALA TERENGGANU: Masyarakat disarankan untuk memahami perbezaan antara keperluan mendesak dengan urusan yang menjadi pelengkap.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim, dalam konteks Islam, konsep fiqh aulawiyyat atau fiqh keutamaan sangat penting, di mana setiap individu perlu membezakan antara keperluan yang lebih mendesak dengan perkara yang kurang kritikal.
Katanya, sebagai contoh, jika terdapat dana sebanyak RM5,000, keutamaan akan diberikan kepada permohonan untuk membaiki atap rumah yang bocor, berbanding dengan permohonan untuk memasang penghawa dingin di surau.
“Tentunya ambo akan beri keutamaan peruntukan untuk baiki atap yang bocor dulu. Permohonan pasang aircond di surau bukan kita tak lulus, cuma KIV dulu untuk kita selesaikan urusan yang lebih terdesak keutamaannya.
“Permohonan bantuan untuk rakyat bagi tujuan biaya pembedahan di hospital akan kita dahulukan berbanding permohonan untuk nak pergi lawatan sambil belajar. Lawatan sambil belajar pun perlu. Tapi saudara kita yang kritikal di hospital lebih mendesak keperluannya.
“Permohonan untuk masukkan bekalan air ke rumah rakyat kita akan dahulukan berbanding dengan permohonan nak cat dinding dewan orang ramai. Sekadar beberapa contoh mudah,” terangnya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Menurutnya, komunikasi yang jelas dan berkesan antara pihak pengurusan dan masyarakat adalah kunci untuk memastikan pemahaman yang baik.
“Alhamdulillah, rakyat kita boleh faham bila diberikan penjelasan yang baik. Komunikasi ini penting dan jurang antara kita yang mengurus dengan rakyat yang diurus perlu diminimakan.
“Dialog serta program temu mata secara berkala banyak membantu dalam aspek ini. Biar masyarakat dapat info terus dari kita dan mereka boleh tanya apa-apa yang kabur,” tambahnya.
Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi turut memberi contoh isu pemakanan, seperti daging khinzir, yang dimakan oleh segelintir rakyat Malaysia.
Beliau berkata, penyelesaian harus mengambil kira kepentingan majoriti tanpa mengabaikan hak mereka yang memilih untuk memakan daging tersebut.
“Kaedah penyelesaian perlu melihat kepada kepentingan yang lebih ramai tanpa mengabaikan hak mereka yang makan babi. Ini contoh simple pemahaman fiqh aulawiyyat.
“Manusia tak akan mampu nak buat semua perkara tapi kita jangan tinggalkan semua perkara,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 25/4/2025











