Larangan jual vape bermula 1 Ogos  

Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan melaksanakan larangan penjualan produk rokok elektronik (vape) di semua premis perniagaan dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri bermula 1 Ogos ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang bersidang pada 23 April sebagai langkah proaktif membendung penjualan dan penggunaan vape yang memberi kesan negatif kepada kesihatan, khususnya golongan muda.

“Antara keputusan penting yang dipersetujui termasuk mengekalkan dasar sedia ada yang tidak meluluskan lesen perniagaan kepada mana-mana premis yang menjual produk rokok elektronik atau vape, selaras dengan Undang-Undang Kecil yang berkuat kuasa di setiap PBT.

“Syarat-syarat lesen perniagaan juga akan diperkemaskan bagi memastikan larangan penjualan produk vape dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Kerajaan negeri menegaskan bahawa mana-mana pengusaha vape yang masih menjalankan perniagaan ketika larangan ini sedang dikuatkuasakan akan dikenakan tindakan tegas mengikut Undang-Undang Kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Antaranya, tindakan kompaun akan diambil, dan barang-barang vape yang dijual oleh pengusaha terbabit akan disita. Sekiranya pengusaha masih lagi meneruskan perniagaan, tindakan pendakwaan selanjutnya akan diambil ke Mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memutuskan untuk tidak menerima sebarang bentuk tajaan atau pengiklanan daripada syarikat pengeluar atau pengedar produk vape bagi program dan acara anjuran kerajaan sebagai satu bentuk komitmen yang tegas.

Katanya, sebagai manifestasi keprihatinan terhadap kebajikan pengusaha dan pekerja di premis vape yang terjejas, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan menawarkan penyertaan dalam kursus-kursus keusahawanan serta peluang perniagaan bagi membantu mereka beralih kepada sektor perniagaan yang lebih mampan dan selamat.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memberi ruang kepada pemilik premis membuat persediaan, tempoh lanjutan selama tiga bulan dari 1 Mei hingga 31 Julai 2025 diberikan sebelum penguatkuasaan sepenuhnya bermula 1 Ogos.

“Kerajaan negeri menyeru semua pihak untuk memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan dasar ini demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri Terengganu yang lebih sihat dan sejahtera,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2025

- Advertisement -