Kuala Krai: Kos sara hidup rendah, persekitaran tenang

Dinobat antara Bandar Paling Bahagia

- Advertisement -

KUALA KRAI: Kos sara hidup yang rendah berbanding bandar-bandar besar di negara ini menjadi salah satu kriteria kenapa Kuala Krai terpilih antara bandar paling bahagia di Malaysia.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, pemilihan tersebut dibuat oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Beliau berkata, ramai pihak meminta penjelasan beliau berhubung keputusan dilakukan melalui aplikasi Malaysian Urban Indicators Network (MURNInet), penilaian tahap kemampanan bandar di Malaysia.

“Ramai yang bertanyakan saya apakah kriteria yang diambil kira oleh MURNInet penilaian PLANMalaysia membolehkan Kuala Krai dinobatkan 20 Bandar Paling Bahagia di Malaysia tahun 2025.

“Kedudukan Kuala Krai adalah di tempat ketiga selepas Cameron Highland di tempat kedua dan Bandar Lipis di tempat Pertama,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial, Facebook hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil dalam Parlimen Kuala Krai turut berkongsi ringkasan dan indikator penilaian terhadap 20 buah bandar paling bahagia di Malaysia bagi tahun 2025.

Menurutnya, bandar Kuala Krai terletak di kawasan pedalaman Kelantan dan dipilih kerana keseimbangan antara kehidupan masyarakat secara tradisional dan pembangunan moden yang semakin pesat.

Malah kata beliau lagi, ia juga mengekalkan gaya hidup desa yang aman, hubungan kejiranan yang erat selain persekitaran yang tenang dan kos sara hidup rendah berbanding bandar besar lain.

Jajahan berkeluasan berkeluasan lebih 2,329 kilometer persegi itu dikelilingi keindahan alam semula jadi kaya dengan flora dan fauna katanya, membolehkan penduduk menjalankan aktiviti luar.

Menurut beliau lagi, keadaan itu membolehkan masyarakat pelbagai kaum meningkatkan kualiti hidup dan menikmati kepelbagaian kebudayaan kaum lain bersama-sama tradisi Melayu dan Islam. – HARAKAHDAILY 9/4/2025

- Advertisement -