Kifaalah: Sudah RM30,000 disalurkan sejak Januari 2025

DUN Kemahang

- Advertisement -

TANAH MERAH: Sebanyak RM30,000 sudah dibelanjakan kepada pewaris dibawah Skim Khairat Kifaalah oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemahang dalam Parlimen Tanah Merah.

- Advertisement -

Wakil rakyatnya, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, jumlah tersebut dilaksanakan bermula bulan Januari tahun 2025 sehingga hari ini dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, program yang membabitkan golongan warga emas warganegara yang bermustautin di negeri itu layak memohon dan ia menjadi sebahagian agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Sejumlah RM30,000 bermula dari awal tahun 2025 hingga hari ini telah berjaya disalurkan kepada waris peserta skim yang layak, waris menerima RM1,000 setelah peserta meninggal dunia.

“Penyerahan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri Kelantan melalui skim ini bagi membantu meringankan beban keluarga peserta yang kembali ke rahmatullah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran Facebook hari ini yang membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga kehidupan menghadapi saat-saat sukar kehilangan orang tersayang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Negeri itu berkata, pihaknya sentiasa komited membantu rakyat dalam kesusahan.

Malah kerajaan negeri melalui kepimpinan akar umbi, penghulu akan memastikan setiap penduduk tanpa mengira agama dan warna kulit dapat menikmati tawaran tersebut dengan sebaik mungkin.

“Kita sentiasa komited untuk memastikan setiap waris peserta menerima manfaat yang sewajarnya dan segala urusan berjalan dengan lancar serta penuh integriti.

“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada keluarga yang ditinggalkan, dan menjadi bukti bahawa kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kita,” katanya.

Skim Khairat Kifaalah Kerajaan Negeri Kelantan diperkenalkan pada tahun 2007 dengan nama asalnya Skim Takaful Kifaalah Warga Emas diwujudkan bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Ia ditawarkan secara percuma melalui anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) iaitu Kifaalah Sdn Bhd dan terbuka kepada semua rakyat Kelantan berusia 60 tahun ke atas. – HARAKAHDAILY 9/4/2025

- Advertisement -