Kelantan rancang bina parkir khas ‘motorhome’

Tarik pelancong dengan aktiviti baharu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merancang untuk menyediakan kemudahan lebih selesa kepada pemilik kenderaan ‘motorhome’ yang berkunjung ke negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamarudin Md Nor menyatakan perkara itu selepas Majlis Penyampaian Anugerah Malaysia Book of Records kepada Hotel Renai di sini kelmarin.

Menurut Kamarudin, bagi menjayakan hasrat tersebut, pihaknya sedang meneliti pembinaan kawasan parkir khas bagi kenderaan terbabit.

Perancangan ini dibuat selepas kerajaan negeri menerima aduan berkaitan kekurangan kemudahan asas seperti bekalan air di beberapa lokasi persinggahan.

“Tahun lepas, lebih 250 pemilik kenderaan itu datang berkumpul di Kelantan dan kami menerima aduan berkaitan masalah yang sama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis berkenaan di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Azi Rahimee Mohamed, Pengarah Eastern Biscuit Factory Sdn Bhd, Datuk Alvin Lim dan Pemangku Pengurus Besar Renai Hotel, Nik Adura Zuliana Datuk Nik Abdul Rashid.

Pada masa yang sama, Kamarudin berkata kerajaan negeri juga sedang berusaha memperkenalkan beberapa tarikan baharu kepada pelancong termasuk aktiviti berkuda di kawasan ekuestrian.

“Selain itu, satu lagi tarikan eksklusif yang sedang dirancang ialah aktiviti menelusuri dua sungai utama di negeri ini iaitu Sungai Kelantan dan Sungai Pengkalan Datu.

“Pelancong boleh menikmati keindahan matahari terbit dan terbenam setiap hari, selain melalui beberapa lokasi bersejarah di sepanjang sungai,” katanya.

Beliau menjelaskan, aktiviti tersebut menggunakan bot kecil yang boleh memuatkan kira-kira 18 individu pada satu masa bagi menjamin keselesaan dan pengalaman peribadi kepada pelancong.

Sementara itu, Nik Adura Zuliana ketika berucap pada majlis itu memberitahu, Hotel Renai Kota Bharu mencipta sejarah apabila meraih tiga pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.

Anugerah itu ialah bagi kategori perhimpunan iftar terbesar di sebuah hotel, hidangan terbanyak disajikan dalam bufet Ramadan hotel, serta gerai makanan jalanan terpanjang dalam dewan hotel.

Menurut beliau, hotel itu menyambut secara rasmi seramai 1,150 tetamu setiap hari sepanjang Ramadan dengan menawarkan 252 jenis menu berbuka puasa sepanjang 200 meter ruang hidangan di foyer dewan.

“Hidangan disediakan oleh pasukan dapur hotel yang diketuai oleh Chef Eksekutif Izan Ismail yang mempunyai pengalaman selama 31 tahun dalam bidang kulinari,” katanya.

Anugerah tersebut disampaikan oleh wakil Malaysia Book of Records, Siti Hajar Johor kepada Datuk Alvin Lim sambil disaksikan oleh Kamarudin. – HARAKAHDAILY 9/4/2025

- Advertisement -