Sekat dan batal program hedonisme melampaui batas

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: PAS Pulau Pinang menzahirkan rasa kekecewaan berkaitan penyebaran iklan program Sonic Splash Songkrau Music Beach yang bertentangan dengan nilai dan adab ketimuran rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, iklan tersebut bukan sahaja mencabar tata susila budaya Timur, tetapi turut mengguris perasaan rakyat negara ini yang majoriti beragama Islam.

“Negara kita bahkan dalam agama juga tidak menghalang mengadakan program berbentuk hiburan, tetapi penganjurannya perlulah mengikut tatacara serta peraturan yang telah ditetapkan,” kata beliau pada kenyataannya hari ini.

Sonic Splash Songkrau Music Beach anjuran Ferringi Heart Beach Club Malaysia dijadualkan berlangsung pada 12 April depan, tanpa segan silu mempromosikan acara-acara yang mencolok mata serta menjatuhkan martabat nilai insani yang dimuliakan Tuhan.

Katanya lagi, budaya hedonisme yang melampaui batas tidak seharusnya dibenarkan apatah memaparkan budaya hidup berkiblatkan Barat.

Malah ujar beliau, ia juga membawa kebobrokan nilai dalam masyarakat dengan budaya hidup yang menyimpang jauh dari adab timur masyarakat Malaysia.

Oleh itu, tegas Fawwaz, PAS Pulau Pinang mendesak agar pihak berwajib sama ada kerajaan negeri mahupun Majlis Bandaraya Pulau Pinang memastikan program seumpama itu disekat daripada dilaksanakan.

“Bukan sekadar membatalkan tetapi pihak berwajib juga perlu memantau dan menghalang sebarang program lain yang tidak mengikut piawaian sepatutnya lebih-lebih lagi membawa unsur kemaksiatan agar tidak dilaksanakan,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 9/4/2025

- Advertisement -