Dewan milik rakyat, bukan hak kepunyaan Umno

Ahmad Azlan Abu Bakar
- Advertisement -

KUANTAN: Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar mengecam tindakan pihak pengurusan Dewan Semai Bakti Felda Keratong 3 yang menolak permohonan Ahli Dewan Negeri Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad, untuk mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak adil dan bermotif politik, memandangkan Umno dilaporkan telah menggunakan dewan yang sama untuk program parti mereka sebelum ini tanpa halangan.

“Saya ingin menarik perhatian rakyat terhadap satu lagi insiden yang jelas memperlihatkan sikap berat sebelah dan kemunafikan dalam pentadbiran Umno Pahang yang kian terserlah kebelakangan ini.

“Saban tahun, wakil rakyat Perikatan Nasional PN Pahang bersama pasukannya sentiasa mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri sebagai satu wadah untuk beramah mesra dan mengeratkan silaturrahim bersama masyarakat.

“Ia adalah acara muhibah, terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, kaum mahupun latar belakang.

“Namun amat dikesali, tahun ini permohonan Ustaz Nazri Ahmad, Ahli Dewan Negeri Bukit Ibam untuk menyewa Dewan Semai Bakti Felda Keratong 3 sekali lagi ditolak dengan alasan kononnya ‘aktiviti politik’.

“Adakah ini definisi keadilan yang diperjuangkan oleh Umno Pahang? Atau mereka masih berpegang kepada mentaliti lapuk “ini kerajaan kami, ikut suka kamilah?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, dewan tersebut dibina menggunakan dana awam dan bukan milik mana-mana parti, justeru aksesnya perlu bersifat terbuka dan adil kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

“Dewan tersebut bukan milik mana-mana parti politik. Ia dibina menggunakan dana awam hasil titik peluh warga Felda termasuk mereka yang tidak menyokong Umno.

“Maka, adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk memastikan akses kepada kemudahan awam seperti ini bersifat inklusif dan adil.

“Perlakuan seperti ini jelas menunjukkan wujudnya amalan dua darjat, satu sikap tidak demokratik yang menindas suara dan kehadiran wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat secara sah melalui Pilihan Raya.

“Retorik Umno Pahang kononnya menjunjung prinsip demokrasi dan perpaduan hanyalah topeng kepada agenda sempit yang sarat dengan ketaksuban politik,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat agar menolak sikap tidak demokratik itu dalam pilihan raya akan datang.

“Saya menyeru agar rakyat membuka mata terhadap kemunafikan yang sedang berlaku. Sikap cakap tak serupa bikin ini tidak boleh dibiarkan berterusan.

“Demokrasi mesti ditegakkan, hak rakyat perlu dipertahankan dan kerajaan UmDAP yang mengamalkan politik dendam ini mesti ditumbangkan dalam PRU-16 akan datang.

“Saya ulang rakyat tidak harus berdiam diri apabila keadilan terus dipermainkan,” katanya.

Ahmad Azlan turut menyatakan keyakinan bahawa dengan izin Allah, PAS dan Perikatan Nasional mampu mengambil alih tampuk kepimpinan negeri dalam PRU ke-16 nanti. – HARAKAHDAILY 9/4/2025

- Advertisement -