PRK Ayer Kuning: Referendum tolak kerajaan pro-kartel

Ustaz Abd Muhaimin Malek
- Advertisement -

TELUK INTAN: Pemilihan Ustaz Abd Muhaimin Malek sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning disifatkan sebagai satu keputusan tepat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, Muhaimin merupakan antara tokoh terawal memperjuangkan isu berkaitan krisis beras tempatan yang membelenggu rakyat sejak tahun lalu.

“Tak sangka PN angkat figura sehebat Ustaz Muhaimin sebagai calon. Seorang yang cakna dan peduli akan nasib rakyat. Seluruh rakyat Malaysia dikhianati dek pendedahan wujudnya kartel mencampurkan beras import dan beras tempatan.

“Ustaz Muhaimin menjadi orang pertama di Malaysia yang menggerakkan laporan polis menuntut siasatan tegas dijalankan,” katanya dalam media sosial miliknya hari ini.

- Advertisement -



Menurut beliau, tindakan anak jati Ayer Kuning itu mencetuskan tekanan rakyat terhadap kerajaan sehingga isu kehilangan beras tempatan di pasaran mula menunjukkan tanda pemulihan, meskipun belum sepenuhnya pulih.

Namun begitu katanya, kerajaan masih belum memberikan penjelasan tuntas kepada rakyat berhubung skandal kartel beras yang dikatakan berlaku sejak dua tahun lalu.

“Dua bulan selepas desakan Ustaz Muhaimin, kerajaan masih gagal mendedahkan kartel-kartel yang terlibat menipu seluruh rakyat Malaysia. Walhal MARDI telah menyerahkan bukti laporan kajian saintifik kepada kerajaan sejak Mac 2024 lagi.

“Selama lebih 2 tahun kartel beras telah menghisap darah rakyat, membuat keuntungan besar dengan cara menipu dan kerajaan hingga ke hari ini masih mendiamkan diri tanpa sebarang tindakan,” katanya.

Beliau turut mendesak agar siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didedahkan kepada umum serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut campur tangan sekiranya wujud unsur rasuah dalam isu tersebut.

“Bahkan SPRM juga perlu mula menyiasat jika ada unsur rasuah melibatkan Kerajaan PH-BN sehingga pak-pak Menteri yang ada begitu liat untuk mengambil tindakan tegas terhadap kartel,” tegasnya.

Dalam masa sama, Nurhafizul menyifatkan PRK Ayer Kuning sebagai medan referendum rakyat menolak sikap Kerajaan PH-BN yang dikatakan mesra kartel.

“PRK Ayer Kuning wajar menjadi referendum rakyat membantah sikap pro kartel kerajaan  PH-BN sejak sekian lama. Kebetulan calon PN adalah wira rakyat dalam isu beras tempatan. Maka, ayuh semua kita menangkan Ustaz Muhaimin di Ayer Kuning,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

Hari penamaan calon akan diadakan pada 12 April, manakala hari pengundian awal pula diadakan pada 22 April. – HARAKAHDAILY 9/4/2025

- Advertisement -