Petrol Raya ringan beban penunggang motosikal

Sempena Aidilfitri

Khalil mengisi minyak motosikal salah seorang penerima dalam program 'Petrol Raya' yang dianjurkan bagi membantu penunggang motosikal sempena Aidilfitri.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pemuda PAS Negeri Terengganu menganjurkan program ‘Petrol Raya’ secara serentak di seluruh negeri bagi membantu rakyat khususnya penunggang motosikal dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. 

- Advertisement -

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, program itu menyaksikan kira-kira 300 penunggang motosikal menerima sumbangan petrol dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1,500.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, inisiatif itu dijalankan dari Besut hingga Kemaman sebagai usaha mendekati rakyat dan meringankan beban mereka. 

“Hari ini di seluruh negeri kita buat program ‘Petrol Raya’ untuk kita meraikan rakyat negeri Terengganu khususnya yang bermotosikal untuk menyambut hari raya nanti Insya-Allah.

“Walaupun tidak seberapa, tapi ini menunjukkan kebersamaan kita dengan rakyat,” katanya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata, PAS sentiasa komited dalam mendekati rakyat dan memastikan kebajikan mereka terbela.

“Hari ini kita ingin memastikan bahawa kita sentiasa bersama dengan rakyat. Setiap denyut rakyat kita bersama-sama,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah.

Dalam pada itu, Khalil menasihati pengguna jalan raya agar berhati-hati ketika pulang ke kampung halaman.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Hati-hati di Jalan raya. Eratkan silaturahim. Insya-Allah kita berjumpa lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2025

- Advertisement -