
JERLUN: Kreativiti penduduk Pida 7, khususnya golongan muda, yang gigih menghiasi kampung mereka dengan pelita dan lampu hiasan trlah menarik perhatian ramai.
Perkara itu telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri dan diteruskan sehingga ke hari ini.
Pada peringkat awal, mereka hanya menggunakan pelita minyak tanah yang disusun sepanjang jalan tetapi sekarang turut menggunakan lampu hiasan warna-warni, selain membentuk replika dan perkataan.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim, berkesempatan ke kampung berkenaan meraikan anak-anak muda yang begitu komited dengan kreativiti mereka.
“Sebahagian mereka adalah bekas anak murid saya. Saya teruja dengan kesungguhan mereka, secara tidak langsung mengindah serta menceriakan suasana kampung menjelang Aidilfitri ini,” kata beliau di sini.
Kelazimannya, pelita dan lampu hiasan itu dipasang selama seminggu iaitu beberapa hari sebelum Aidilfitri dan tiga hari selepas Hari Raya.
Sementara kos untuk minyak tanah sahaja sebanyak RM200 yang didapati hasil kutipan dari penduduk kampung.
Kata Azhar, kreativiti anak-anak muda itu mula diikuti oleh beberapa kampung lain di DUN berkenaan, termasuk di Jelempok, Perlis.
Semua peralatan, sama ada pelita, lampu hiasan, huruf-huruf dan lain-lain berkaitan, akan disimpan kemas dan rapi, sehingga digunakan semula pada Aidilfitri akan datang. – HARAKAHDAILY 30/3/2025











