Siasatan bebas, gantung penguat kuasa terlibat

Kes 'Abang Belon'

- Advertisement -

SERDANG: Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali menggesa satu inkuiri bebas diketuai badan berkecuali bagi menyiasat kejadian membabitkan peniaga belon, Muhamad Za’imuddin Azlan, 28 yang dikenali sebagai ‘Abang Belon’.

Ketua Penerangan Pejuang itu menegaskan bahawa siasatan dalaman tidak mencukupi dan rakyat perlu mengetahui kebenaran mengenai kejadian itu.

Rafique turut menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menggantung tugas penguat kuasa yang terlibat serta-merta sementara siasatan dijalankan.

“Saya gesa DBKL supaya menggantung penguat kuasa ini serta-merta dan adakan satu inkuiri, tetapi bukan inkuiri dalaman seperti kes-kes DBKL sebelum ini.

“Mesti ada satu inkuiri yang dipengerusikan oleh badan bebas,” tegasnya kepada media di lobi Hospital Serdang, di sini hari ini.

Muhammad Rafique turut mempersoalkan tindakan pihak hospital yang tidak membenarkannya bertemu dengan ‘Abang Belon’ ketika beliau hadir ke hospital tersebut hari ini.

Beliau berkata, beliau menerima panggilan daripada keluarga Muhamad Za’imuddin yang meminta bantuan guaman berhubung kejadian yang menimpa mangsa.

Bagaimanapun, beliau hanya dapat bertemu dengan ibu, bapa, dan kakak Muhamad Za’imuddin, tetapi tidak diberikan akses untuk bertemu dengan mangsa sendiri.

“Saya difahamkan pihak hospital telah memohon kepada ibunya supaya tidak perlulah jumpa peguam dahulu kerana polis kata jangan jumpa sesiapa,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa hak untuk mendapatkan khidmat guaman adalah hak setiap rakyat Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Muhammad Rafique, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada keluarga dan video yang tersebar, beliau percaya terdapat unsur tindakan melampaui batas oleh pihak penguat kuasa.

“Daripada kata-kata mak dan ayah beliau, memang jelas adanya unsur-unsur pihak penguat kuasa melampaui apa yang mereka ada dari segi undang-undang dan kuasanya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Rafique turut mencadangkan agar semua anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalani pemeriksaan kesihatan mental secara berkala.

“Keseluruhan rakyat perlu tahu apa yang sedang berlaku dan kalau boleh, saya nak sarankan semua agensi PBT menghantar staf mereka untuk pemeriksaan kesihatan mental secara berkala supaya tahap kesihatan mental mereka diketahui,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2025

- Advertisement -
- Advertisement -