‘Abang Belon’ terima kurniaan peribadi Sultan Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah bertitah menasihatkan para peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini agar bertanggungjawab dalam menjalankan peranan masing-masing.

Baginda bertitah, menjelang sambutan Aidilfitri, peniaga pastinya meningkatkan usaha mencari pendapatan dengan menawarkan pelbagai barangan untuk menarik perhatian pembeli.

“Apa jua bentuk urusniaga yang dijalankan perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah disediakan antaranya peniaga perlu memohon lesen atau permit perniagaan.

“Manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) pula perlu menyediakan tempat yang khusus dan selamat untuk semua pihak. Apabila tiba pada suatu isu atau permasalahan, ia perlu diselesaikan dengan cara yang paling wajar.

- Advertisement -

“erta tidak melibatkan sebarang kekecohan apatah lagi kecederaan,” titah baginda turut menegaskan bahawa peniaga di Pahang perlu memiliki lesen perniagaan dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Dalam masa yang sama baginda bertitah, penguat kuasa diseru bertindak dengan berhemah serta mengamalkan budi bicara tanpa menimbulkan sebarang kerosakan atau kecederaan.

Sementara Tengku Arif Bendahara, dilaporkan meluangkan masa menziarahi peniaga belon, Muhammad Zaimuddin Azlan, yang terlibat dalam insiden dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Muhammad Zaimuddin, 28, atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’, kini menerima rawatan di Hospital Serdang akibat kecederaan dialaminya selepas bergelut dengan penguatkuasa yang cuba merampas barang jualannya.

Prihatin dengan keadaan menimpa pemuda dari Jerantut itu, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menziarahinya.

Baginda dilaporkan tiba di hospital pada pukul 12:30 tengah hari untuk bertanya khabar dan menyampaikan kurniaan peribadi daripada Sultan Pahang. – HARAKAHDAILY 30/3/2025

- Advertisement -