DBKL didesak ambil tindakan terhadap penguat kuasanya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia) menggesa Datuk Bandar Kuala Lumpur mengambil tindakan tegas terhadap anggota penguat kuasanya susulan insiden operasi agresif ke atas seorang penjaja tanpa lesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini baru-baru ini.

Presidennya, Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan berkata, pihaknya terkejut dengan tindakan melampau penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang jelas mencederakan penjaja dikenali sebagai ‘abang belon’ dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Serdang.

“Klip video insiden itu telah viral di media sosial dan telah menimbulkan kemarahan seluruh masyarakat Malaysia.

“Keindahan Ramadhan dan menjelangnya Syawal pada tahun ini telah tercemar dengan insiden yang tidak berperikemanusiaan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa DBKL perlu melaksanakan penguatkuasaan secara adil dan tidak memilih bulu, serta tidak hanya bertindak tegas terhadap penjaja kecil, tetapi berlembut dengan pihak berkepentingan besar yang melanggar peraturan.

“Anak Malaysia menyeru seluruh rakyat bangkit dan memberi tekanan kepada pihak Kerajaan Madani melalui Menteri Wilayah agar perkara sebegini tidak akan berulang lagi.

“Dan satu permohonan maaf dan bayaran pampasan kecederaan oleh pihak DBKL perlu diarahkan oleh Menteri Wilayah sebagai pengajaran kepada DBKL agar tidak semberono menjalankan penguatkuasaan yang kasar,” katanya.

Tambahnya, Anak Malaysia bersama rakyat yang cintakan keamanan berharap keadilan ditegakkan agar insiden seperti itu tidak lagi berlaku, bukan sahaja oleh DBKL tetapi juga oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 30/3/2025

- Advertisement -
- Advertisement -