DBKL perlu ada rasa empati terhadap peniaga kecil

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Negeri Selangor kecewa dengan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap seorang peniaga belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan, Zurk Ahmad berkata, insiden dirakam dan tular di media sosial itu menunjukkan sikap kasar dan tidak profesional, serta amat dikesali lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

“Peniaga kecil yang kurang bernasib baik terutamanya dalam kalangan orang Melayu sebenarnya dalam keadaan yang amat terdesak untuk mencari rezeki bagi membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

“Bagi sebahagian daripada mereka juga, perniagaan kecil ini bukan sekadar mata pencarian tambahan tetapi juga sebagai satu-satunya sumber pendapatan untuk menyara keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, tindakan kekerasan yang digunakan oleh pihak berkuasa seolah-olah tidak ada lansung tolak ansur untuk mereka berniaga di saat-saat akhir Ramadan ini.

“Kami ingin menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang harus dilakukan dengan penuh profesionalisme, etika, dan belas ihsan.

“Kami juga mendesak agar dijalankan siasatan penuh dan telus dijalankan terhadap anggota penguat kuasa terbabit, termasuk tindakan disiplin sekiranya didapati berlaku salah guna kuasa.

“Pihak DBKL pada hemat kami hendaklah menyemak semula garis panduan penguatkuasaan bagi memastikan tiada lagi insiden seperti ini berlaku ke atas para peniaga kecil terutamanya ketika bulan Ramadan dan musim perayaan,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru pihak kerajaan supaya lebih proaktif dan kreatif  mempertimbangkan penyelesaian yang lebih adil dan inklusif bagi peniaga kecil termasuk penyediaan ruang niaga sesuai serta sistem lesen lebih fleksibel.

“PAS Negeri Selangor menyeru pihak berkuasa untuk lebih empati dan berperikemanusiaan dalam melaksanakan tugas mereka dan memastikan keadilan ditegakkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2025

- Advertisement -