
KUALA TERENGGANU: Projek Akuapolitan Kuala Nerus yang dilancarkan pada Mei 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika itu, kini terbengkalai tanpa sebarang perkembangan sejak majlis pelancarannya.
Exco Kerajaan Negeri, Dr Azman Ibrahim mendedahkan bahawa selepas dua tahun pelancaran projek mega bernilai RM180 juta itu, tiada sebarang kerja teknikal atau fasa perlaksanaan yang dimulakan.
“Bermula dengan cadangan skop kerja, perlantikan Jabatan Teknikal (SO Projek) seterusnya kerja-kerja ukur hidrografi dan topografi. Peringkat makmal kajian nilai dan makmal kejuruteraan nilai seterusnya memuktamadkan skop projek.
“Selepas itu barulah proses tender akan dibuat. Bila kita minta laporan ECERDC pada selepas Mei 2018, yang ada hanyalah lakaran artis gambaran projek ini. Semua fasa kerja yang saya senaraikan di atas belum dibuat apa-apa.
“Maknanya 2 tahun telah berlalu sia-sia walaupun majlis pelancaran telah dibuat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Tambah beliau, akhirnya pihak ECERDC memaklumkan bahawa mereka tidak mampu meneruskan projek tersebut.
“Kerajaan Negeri mengemukakan cadangan alternatif. Kalau tak mampu buat semua, buatlah beberapa komponen penting seperti jeti perikanan, kilang air batu, cool room dan beberapa lagi kemudahan asas untuk nelayan. Cadangan alternatif pun tak mampu dilaksanakan oleh ECERDC. Akhirnya mereka tutup buku,” jelasnya.
Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, kerajaan negeri tidak pernah membatalkan projek tersebut kerana ia merupakan projek di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan negeri tak pernah membatalkan projek ini kerana ia bukan projek Kerajaan Negeri. Apatah lagi nak pulangkan balik wang RM180 juta yang kononnya telah disalurkan ke dalam akaun Kerajaan Negeri.
“Nak salur duit kepada kerajaan negeri buat apa. Apabila ia projek Persekutuan maka semua urusan tender adalah di bawah Persekutuan. Pembayaran kepada kontraktor juga bawah Persekutuan.
“Jangan jadi amalan lorat (tergesa-gesa) nak buat majlis pelancaran dan pecah tanah walaupun sebenarnya belum ada apa-apa,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2025




















