
KEMAMAN: Peniaga lemang Kijal kini mempunyai peluang lebih luas untuk mengembangkan perniagaan mereka selepas diberi ruang berniaga di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kijal menerusi inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris.
Menurut Aini Faizah Botok, 42, yang meneruskan legasi keluarganya sejak lebih tiga dekad lalu, lokasi baharu itu membuka potensi besar untuk menarik lebih ramai pelanggan.
“Sebelum ini, perniagaan kami hanya bergantung pada pelanggan tetap dan mereka yang tahu tentang lemang Kijal. Kini, dengan lokasi yang lebih strategik, kami boleh memperkenalkan lemang Kijal kepada lebih ramai orang dari pelbagai negeri.
“Kami peniaga lemang Kijal di Jalan Lama ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada kami untuk berniaga di R&R Kijal. Ini peluang besar untuk kami mengembangkan perniagaan kami,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Kiosk Lemang Kijal di Hentian Rehat Kijal, semalam.
Selain lemang, peniaga di lokasi baharu itu turut menawarkan pelbagai makanan tradisional seperti serunding, sambal, sata, dan rendang menjadikannya daya tarikan utama di R&R Kijal.
Noraini Abdullah, 59, pula melihat peluang ini sebagai langkah penting dalam memastikan perniagaan lemang Kijal terus berdaya saing di era moden.
“Saya berharap inisiatif ini dapat memperkenalkan tradisi lemang Kijal kepada generasi sekarang.
“Bagi anak-anak perantau yang pulang ke kampung, bolehlah singgah ke gerai Lemang Kijal di R&R Kijal ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/3/2025











