
KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Dato’ Andasura Rabu telah menyampaikan sumbangan tunai kepada lebih 150 penerima sempena bulan Ramadan dan Aidilfitri.
Menurut beliau, sebahagian penerima menerima sumbangan tersebut secara langsung daripadanya dua hari lalu, manakala selebihnya disampaikan melalui wakil-wakil cawangan PAS di seluruh DUN Beserah.
“Pemberian tunai ini adalah hasil sumbangan dermawan yang menyalurkannya kepada Pusat Khidmat DUN Beserah.
“Jutaan terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada kami untuk mengagihkannya kepada mereka yang layak dan memerlukan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.
Beliau turut mengajak para penerima agar mendoakan kesejahteraan para penyumbang supaya mereka terus dimurahkan rezeki dan dapat membantu lebih ramai golongan yang memerlukan pada masa akan datang.
“Setiap kali menerima sumbangan daripada mana-mana pihak, saya mohon para penerima untuk mendoakan agar para penyumbang dirahmati Allah dan dilipatgandakan rezeki mereka supaya dapat terus menyumbang.
“Saya mohon tuan puan juga dapat mendoakan kebaikan buat mereka.
“Semoga kecaknaan kita yang saling membantu dan mendoakan antara satu sama lain akan daripada Allah SWT membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada masyarakat kita, tempat kita seluruhnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2025











