
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menasihatkan perantau yang pulang ke kampung untuk berhari raya agar berhati-hati di jalan raya.
Beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah dan berhenti berehat sekiranya merasa mengantuk atau letih bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Hari ini ramai yang sudah bergerak pulang ke kampung untuk berhari raya. Dalam kegembiraan kita, pastikan berhati-hati ketika di jalan. Pandu dengan berhemah.
“Sekiranya mengantuk atau letih, berhenti rehat terlebih dahulu. Yang berhenti tidur di dalam kereta, pastikan tingkap dibuka sedikit,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.
Beliau turut mendoakan agar semua perantau selamat tiba di destinasi masing-masing dan dapat menyambut Hari Raya bersama keluarga tersayang.
“Semoga semuanya selamat sampai destinasi. Selamat pulang para perantau,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2025











