
KUALA LUMPUR: Ramai peniaga kecil cuba mencari rezeki setiap kali menjelang musim perayaan, tambahan pula dalam keadaan tekanan kos sara hidup dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah tidak wajar kekasaran digunakan oleh pihak penguat kuasa ke atas seorang penjaja tepi jalan yang kesalahannya hanyalah menjual belon.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah lebih prihatin, peka dan berhemah. Cubalah cari jalan untuk memudahkan peniaga-peniaga kecil mencari rezeki di musim-musim perayaan tertentu.
“Lesen-lesen sementara boleh dikeluarkan untuk membolehkan mereka berniaga di tempat-tempat tertentu untuk suatu tempoh yang terhad.
“Semasa pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional, Kementerian Wilayah Persekutuan telah melaksanakan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga dengan mengeluarkan lesen-lesen sementara kepada para penjaja.
“Bagi suatu tempoh tertentu untuk memudahkan penjaja kecil menjalankan perniagaan di Wilayah Persekutuan. Inisiatif ini dilaksanakan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh, konsep yang sama boleh digunakan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat yang sedang dihimpit oleh kenaikan kos sara hidup pada masa ini.
“Dengan adanya kebenaran berniaga secara sementara ini, bolehlah rakyat menambah pendapatan untuk menyara hidup, yang penting ialah sikap prihatin kerajaan dalam membantu rakyat.
“Bila kerajaan prihatin, langkah-langkah tentu boleh diambil untuk memenuhi keperluan rakyat tanpa perlu mereka melanggar undang-undang untuk mencari rezeki sesuap nasi.
“Saya berharap insiden malang seperti ini tidak berulang lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2025











