
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memandang serius insiden pada malam Jumaat lepas (28 Mac) melibatkan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang penjaja belon serta peniaga lain.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dan Setiausaha Agung PAS berkata dalam satu kenyataan, kejadian tersebut menarik perhatian umum dan perlu ditangani dengan telus serta adil.
“Seperti banyak pihak lain, PN tidak mempersoalkan keperluan peraturan dan undang-undang bagi mengatur kehidupan bermasyarakat, apatah lagi di bandar raya sesak seperti Kuala Lumpur.
“Namun pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilakukan dengan berhemah, manusiawi, tidak dilihat menindas mana-mana pihak dan tidak melampau, terutama terhadap rakyat biasa.
“Tindakan yang berlebih-lebihan, tidak profesional atau tidak berpadanan dengan kesalahan tidak boleh diterima sama sekali,” ujar beliau terhadap isu tular berlaku di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini kelmarin itu.
PN juga katanya, menggesa agar dasar dan pendekatan penguatkuasaan diteliti secara berterusan bagi memastikan peniaga kecil khasnya diberi ruang berniaga secara tertib berlandaskan pelaksanaan undang-undang yang lebih responsif terhadap keadaan setempat dan semasa.
Menurut beliau, sebagai badan penguat kuasa yang berdepan dengan isu seperti ini hampir setiap hari, DBKL sepatutnya sudah bersedia dengan respons yang lebih bijak, praktis, kreatif dan bebas konflik, terutama dalam kes pelanggaran kecil undang-undang.
“Pemberian lesen sementara dengan variasi tempoh atau lokasi, pengenaan fi tertentu atau saman secara terus di tapak, misalnya, adalah antara pendekatan yang boleh diteroka bagi menghindari ketegangan yang akan hanya meninggalkan rasa tidak selesa, sedangkan masalah dihadapi tidak kunjung selesai.
“Penguatkuasaan undang-undang harus menggambarkan dasar kerajaan yang membela dan melindungi rakyat bawahan yang mencari rezeki melalui perniagaan kecil-kecilan bagi menampung kehidupan, bukannya dilihat mengutamakan golongan atasan atau berkedudukan tertentu.
“PN akan terus memantau kes ini dan kes-kes lain yang seumpamanya serta bersedia membantu pihak-pihak yang terkesan untuk mendapatkan keadilan dan pembelaan sewajarnya jika diperlukan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/3/2025











