
ALOR SETAR: Berkongsi kegembiraan menjelang Syawal bersama golongan kurang bernasib baik, bukan sahaja menjadi agenda kerajaan negeri, malah ia juga antara yang dituntut dalam Islam.
Ia bukan sahaja mampu mengeratkan siratul rahim, sebaliknya menunjukkan keprihatinan golongan berada terhadap mereka yang kurang berada.
Semalam, seramai 106 anak-anak yatim yang terpilih, diraikan dengan pembelian baju, kasut dan kelengkapan Aidilfitri diadakan di sebuah pasar raya, di sini.
Program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Isteri Wakil-wakil Rakyat dan Pegawai Khas Menteri Besar (PIKAT) itu diadakan dengan kerjasama sebuah syarikat dari Kuala Lumpur, Westar Group.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor antara kenamaan yang turut menyertai program berkenaan.
Pada ucapannya beliau berkata, budaya membantu serta menyantuni golongan bernasib baik yang dilakukan ini bertepatan dengan slogan ‘Kedah tempat orang kaya berbakti, tempat orang miskin berteduh’.
Malah tegasnya lagi, program seumpama itu, secara tidak langsung menggalakkan lebih ramai individu dan organisasi untuk terlibat dalam aktiviti kebajikan secara berterusan, bukan hanya pada bulan Ramadan dan Syawal sahaja.
“Keprihatinan dan kepedulian terhadap golongan anak-anak yatim perlu dizahirkan agar budaya ini dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat. Islam menitikberatkan hubungan silaturahim dan kasih sayang sesama insan, lebih-lebih lagi kepada golongan anak-anak yatim,” kata beliau.
Majlis tersebut, selain dihadiri Pengerusi PIKAT, Tok Puan Jusmalailani Jusoh dan ahli jawatankuasanya, ia turut dihadiri beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Lebih menceriakan suasana, Sanusi dan isteri turut bersama-sama memilih pakaian dan kelengkapan Aidilfitri untuk anak-anak yatim tersebut.
Dalam pada itu, ia turut dibantu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN-ADUN yang hadir, bersama isteri masing-masing.
Perkongsian rezeki serta perhatian diberikan bukan sekadar mengukirkan senyuman di wajah anak-anak yatim tersebut tetapi turut membawa keberkatan kepada yang memberi. – HARAKAHDAILY 23/3/2025





















