Seru daftar Kad OKU: Ringankan beban penjaga

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ibu bapa dan penjaga digesa untuk segera mendaftarkan anak-anak kelainan upaya, khususnya autisme, bagi mendapatkan Kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim menekankan kepentingan pendaftaran tersebut yang memberi pelbagai manfaat bukan sahaja kepada individu OKU.

Malah katanya, pendaftaran itu turut membantu meringankan tanggungjawab ibu bapa serta memudahkan urusan penjagaan.

“Saya percaya masih ramai di luar sana yang belum berdaftar. Sama ada mereka tidak tahu, tidak mahu atau tidak cakna mengenai kepentingan mendaftar anak-anak ini demi kebajikan mereka,” ujar beliau.

Rohani berkata demikian ketika berucap pada majlis Menyantuni Anak-Anak Syurga Kasih Ramadan Bersama Ibu Bapa dan Anak-Anak Autisme yang diadakan di Madinah Ramadan, di sini petang semalam.

Sempena majlis itu juga diadakan ceramah motivasi autisme oleh Timbalan Ketua Pengelola (I) Halaqat Negeri Kelantan, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi.

Seramai 50 orang anak-anak autisme diraikan pada majlis tersebut.

Menurutnya, ada juga ibu bapa yang berada dalam situasi penafian  terhadap keadaan anak mereka, sekali gus menyebabkan proses pendaftaran tergendala.

Beliau menjelaskan, pendaftaran dengan JKM membolehkan pemegang kad OKU menikmati lebih daripada 20 kemudahan dan kelebihan yang telah disediakan oleh kerajaan.

“Apa yang penting, semua anak-anak autisme ini mestilah dikenal pasti dan didaftarkan secara rasmi agar mereka tidak terlepas hak serta bantuan yang sewajarnya,” katanya lagi.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga OKU termasuk golongan autistik diberi perhatian sewajarnya.

“Banyak aspek perlu kita selaraskan, maka maklum balas dan cadangan daripada semua pihak sangat kami alu-alukan,” tambah beliau.

Rohani turut berkongsi, Kelantan merupakan antara negeri yang ke hadapan dalam melaksanakan pelbagai projek rintis berkaitan OKU dan belum dilaksanakan di negeri lain.

Jelasnya, antara inisiatif tersebut ialah penubuhan Majlis Penasihat OKU Negeri Kelantan (MPON) sejak tahun 2016 sebagai platform libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan OKU.

Selain itu, Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) turut diwujudkan bagi menghimpunkan pelbagai NGO OKU sebagai kuasa ketiga (third-force) dan pemudahcara kepada kerajaan dalam menangani isu-isu berkaitan OKU.

Kelantan juga memperkenalkan konsep Duta OKU Kelantan, yang mana individu OKU dari negeri ini dilantik sebagai ikon untuk mengangkat isu OKU ke peringkat nasional.

“Di samping itu, kerajaan negeri turut melantik 14 orang Penyelaras Pembangunan OKU (PPO) di setiap Parlimen seluruh Kelantan bagi menguruskan data, kebajikan dan isu-isu yang berkaitan.

“Bagi membantu komunikasi, dua orang Jurubahasa Isyarat (JBI) telah dilantik khas bagi menyokong semua program rasmi kerajaan negeri yang melibatkan keperluan bahasa isyarat,” katanya lagi.

Setiap tahun juga, kerajaan negeri menyalurkan bantuan kebajikan secara berkala kepada golongan OKU berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan.

“Kita sentiasa berusaha menambah baik dari segi kapasiti keupayaan warga OKU dan juga kapasiti perkhidmatan yang diberikan kepada mereka,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 23/3/2025

- Advertisement -