
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis akan mengadakan enam program utama yang bakal berlangsung sepanjang bulan April ini, merangkumi sambutan Aidilfitri, acara diraja, serta program keagamaan peringkat kebangsaan.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, program-program ini akan menjadi platform penting bagi memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan rakyat serta mengangkat martabat negeri dalam pelbagai aspek.
“Kerajaan negeri telah merancang beberapa program utama yang akan berlangsung sepanjang bulan Syawal ini, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya berharap semua rakyat dapat mengambil bahagian dan memanfaatkan peluang ini untuk mengeratkan perpaduan serta memeriahkan sambutan Aidilfitri dan acara penting negeri,” katanya.
Beliau memaklumkan demikian dalam Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis bagi bulan Mac 2025 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, hari ini.
Menurut Mohd Shukri, antara program utama yang dirancang adalah Majlis Sambutan Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis 1446H yang akan diadakan pada 12 April di Dewan 2020.
Ia maklumnya, diikuti dengan Majlis Santapan Diraja sempena Jubli Perak pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 17 April di Istana Arau.
Selain itu ujarnya, program Markas Tentera Darat sempena Jubli Perak akan berlangsung pada 26 April di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra.
Manakala Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Ke-15 juga bakal diadakan dalam tempoh yang sama.
Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI dijadualkan berlangsung pada 27 April di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, diikuti dengan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan dari 27 April hingga 2 Mei di Dewan 2020.
Mohd Shukri turut menzahirkan rasa syukur kerana rakyat Perlis berpeluang meraikan Sambutan Jubli Perak pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail buat julung kalinya.
“Alhamdulillah, kita amat bertuah kerana dapat meraikan sambutan bersejarah ini. Kemuncak acara ialah Majlis Santapan Diraja pada 17 April yang akan dihadiri oleh Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Raja-Raja Melayu serta Tuan Yang Terutama setiap negeri,” ujarnya.
Beliau berharap semua program yang dirancang berjalan lancar serta dapat memberi manfaat kepada rakyat dalam mengeratkan ukhuwah dan memperkukuhkan perpaduan. – HARAKAHDAILY 21/3/2025




















