
KANGAR: Sistem Smart Parking yang diperkenalkan di bandar ini dijamin tidak akan menyebabkan kesesakan, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth.
Menurut Affendi, teknologi ‘number plate detector’ yang digunakan pada sistem ini mampu mengenal pasti nombor plat kenderaan dalam masa tiga saat sebelum secara automatik membuka palang.
“Jika kenderaan mempunyai nombor plat, sistem akan mengesannya dan palang akan terbuka. Namun, jika tiada nombor plat, itu adalah kesalahan di bawah bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Ini membolehkan pergerakan keluar masuk menjadi lebih lancar tanpa sebarang kesesakan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pentadbiran Negeri Perlis, di sini hari ini.
Jelasnya lagi, sistem ini menawarkan 15 minit pertama parkir secara percuma.
“Jika seseorang hanya perlu berhenti sebentar, misalnya untuk urusan di bank, mereka boleh menggunakan parkir secara percuma selama 15 minit pertama.
“Selepas itu, kadar bayaran adalah 60 sen untuk sejam pertama dan 30 sen bagi setiap jam berikutnya,” katanya.
Tambahnya lagi, kadar ini adalah berpatutan dan meminta orang ramai membuat perbandingan dengan negara lain sebelum mengkritik sistem ini.
“Jika ada yang merasakan kadar parkir di sini lebih mahal berbanding negara lain, datang berjumpa saya. Jangan hanya mengkritik di media sosial tanpa memahami konsep sebenar sistem ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai isu kesesakan, beliau berkata ia sering berpunca daripada pengguna sendiri yang menunggu ruang parkir kosong.
“Contohnya, jika seseorang menunggu rakannya yang hanya ingin mengeluarkan wang di bank, kenderaan lain yang menunggu di belakang akan menyebabkan kesesakan.
“Ini bukan salah sistem, tetapi sikap pengguna itu sendiri,” katanya.
Beliau berharap masyarakat dapat memahami konsep sistem Smart Parking ini sebelum membuat sebarang kesimpulan atau kritikan. – HARAKAHDAILY 21/3/2025











