Bubur lambuk erat ukhuwah Parlimen Kota Bharu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 3,000 pek bubur lambuk disediakan oleh Pusat Khidmat Parlimen Kota Bharu.

- Advertisement -

Bubur berkenaan disediakan untuk diagihkan di  tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bunut Payong, Tanjong Mas dan Kota Lama sebelum ia diagihkan pada orang ramai.

Program tersebut tetap diteruskan meskipun Ahli Parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan sewajarnya daripada kerajaan.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, agihan bubur lambuk sempena bulan Ramadan menjadi acara tahunan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu sebagai suatu sumbangan kecil kepada masyarakat setempat.

“Meskipun Ahli Parlimen pembangkang tidak diberikan peruntukan sewajarnya, bukan bermakna kita tidak dapat melaksanakan program sumbangan seperti ini,” ujar beliau selepas majlis pengagihan bubur tersebut.

Tambah beliau, sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang, pihak Pusat Khidmat Parlimen dan DUN akan turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf terdiri daripada anak yatim dan ibu tunggal.

Turut serta dalam agihan bubur lambuk yang diadakan di hadapan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu ialah Ahli Dewan Negeri Bunut Payong, Shaari Mat Yaman.

Hadir sama, Pengarah DUN Kota Lama, Zamri Ismail dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kota Bharu, Lim Guan Seng.

Bubur lambuk berkenaan telah disediakan oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan. – HARAKAHDAILY 21/3/2025

- Advertisement -