Gotong-royong siapkan musalla demi Aidilfitri

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Penduduk Kampung Tasek Tandak giat menjalankan kerja-kerja pembinaan musalla secara gotong-royong demi merealisasikan harapan untuk menggunakannya bagi solat sunat Aidilfitri nanti.

- Advertisement -

Setiausaha Musalla yang juga Setiausaha PASTI An-Nur, Mohd Hushairie Mohd Sakri berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 hingga RM180,000 masih diperlukan bagi menyiapkan keseluruhan pembinaan masjid yang dianggarkan menelan belanja hampir RM200,000.

Katanya, sehingga kini, hampir RM50,000 telah dibelanjakan hasil sumbangan orang ramai sejak kerja-kerja pembinaan dimulakan.

“Selain mengupah tukang pada hari bekerja dari Ahad hingga Khamis, kami turut mengadakan gotong-royong oleh penduduk kampung setiap Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Lebih membanggakan katanya, penduduk turut meluangkan masa selepas solat tarawih untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan sehingga pukul 1:00 pagi setiap malam.

Jelas beliau, usaha ini dilakukan kerana musalla tersebut merupakan satu-satunya tempat ibadah yang terdapat di kampung berkenaan dan menjadi keperluan utama masyarakat setempat.

“Kalau hari biasa sebelum ini pun, selepas solat Isyak, kami akan terus sambung kerja gotong-royong untuk siapkan musalla ini,” tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, musalla ini dijangka dapat digunakan dua hari sebelum Aidilfitri nanti, khususnya di tingkat atas, sebagai ruang sementara untuk solat sunat Hari Raya memandangkan bahagian bawah masih belum siap sepenuhnya.

Buat masa ini katanya, kelas PASTI terpaksa ditumpangkan di rumah ayahnya yang berdekatan dengan musalla demi keselamatan pelajar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff turut tampil membantu mencari dana bagi pembinaan musalla tersebut menerusi siaran langsung di Facebook beliau baru-baru ini.

Beliau melahirkan rasa syukur apabila ramai pihak mula tampil menyumbang hanya sehari selepas siaran langsung itu dibuat.

“Syukur kepada Allah kerana selepas siaran langsung itu, ramai yang sedar keperluan musalla ini dan mula menyumbang,” ujarnya.

Musalla berkenaan sebelum ini juga pernah dijadikan pusat pemindahan sementara mangsa banjir berikutan tiada lokasi alternatif berhampiran kampung berkenaan.

Ini kerana Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan terlalu jauh dan menyukarkan penduduk untuk berpindah setiap kali bencana melanda.

Katanya, ia dibuka oleh penduduk kampung sendiri berikutan PPS yang disediakan begitu jauh dari kampung mereka.

Kepada yang ingin membantu sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad 03 027 01-0067907 (Pasti AnNur Tasek Tandak).

Untuk sebarang pertanyaan 0111 7900249 (Setiausaha Pasti Mohd Hushairie). – HARAKAHDAILY 21/3/2025

- Advertisement -