
TANGGA BATU: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al Fattah mencatat keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2024, meskipun ini merupakan penyertaan sulung sekolah tersebut dalam peperiksaan berkenaan.
Guru Besarnya, Afzan Abdullah, menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti kualiti pendidikan yang diterapkan sejak sekolah itu mula beroperasi pada tahun 2020.
“Walaupun sekolah ini masih baharu, pencapaian ini menunjukkan kesungguhan para guru dan pelajar dalam memastikan kecemerlangan akademik serta pendidikan Islam terus terpelihara,” katanya, hari ini.
Seramai 25 calon menduduki UPKK tahun ini dengan kehadiran penuh 100 peratus.
Keputusan menunjukkan sembilan pelajar memperoleh 9A, empat mendapat 8A, dua memperoleh 7A, dua lagi mendapat 6A, seorang memperoleh 4A, seorang memperoleh 3A, dua mendapat 2A, dan seorang mendapat 1A.
“Kesemua pelajar lulus dengan baik, dengan 72 peratus daripada keseluruhan mata pelajaran memperoleh gred A. Gred Purata Sekolah (GPS) SRITI Al Fattah ialah 1.51, lebih baik berbanding Gred Purata Negeri Melaka iaitu 1.68,” ujarnya.
SRITI Al Fattah kini mempunyai 210 pelajar dari Tahun 1 hingga Tahun 6, dengan tenaga pengajar seramai 15 orang. – HARAKAHDAILY 21/3/2025











