KIAS sasar status universiti penuh menjelang 2027

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kolej Universiti Islam Sultan Ismail Petra (KIAS) mensasarkan status universiti penuh menjelang tahun 2027, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi.

- Advertisement -

Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, ia menjadi hasrat kerajaan negeri untuk menaik taraf sistem pendidikan agama Islam di Kelantan yang amat sinonim dengan gelaran ‘Negeri Serambi Makkah’.

“Sejarah pendidikan Islam peringkat tinggi ini bermula dengan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) kemudian dikenali Akademi Pengajian Islam dibawah kelolaan Universiti Malaya (UM).

“Kemudian Maahad Dakwah wal Imamah ditubuhkan, seterusnya menjadi KIAS dan dapat status kolej universiti, jadi kita terus bergerak ke arah universiti penuh pada 2027 nanti insyaAllah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam audio siar Bicara Siasah yang membicarakan tajuk ‘Membentuk Generasi Rabbani: Transformasi Pendidikan Kelantan’ di bangunan PAS Kelantan di sini malam kelmarin.

Pengurusan dan warga kerja KIAS kini sedang berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE) bagi mencapai status tersebut tidak lama lagi.

Selain mencapai jumlah penuntut 2,000, KIAS juga perlu mencapai lima tahap Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA) iaitu akademik, penyelidikan, penerbitan dan tadbir urus.

Media sebelum ini melaporkan KIAS memerlukan 800 lagi penuntut bagi memenuhi syarat mencapai status itu berbanding sekarang mempunyai 1,200 sedang menuntut ilmu dalam sijil, diploma dan ijazah. – HARAKAHDAILY 21/3/2025

- Advertisement -