Pelita raya Terengganu bertaraf antarabangsa

Sulaiman Sulong (kiri), Razali dan Ridwan memegang poster PeliTer@KSNT 2025 yang akan berlangsung pada 13 hingga 16 Mac ini.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Program Pelita Raya Terengganu 2025 (PeliTer@KSNT 2025) bakal kembali dengan lebih meriah dan berskala besar pada 13 hingga 16 Mac ini yang akan diadakan di pekarangan tasik, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

- Advertisement -

Acara yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (SPNT) dengan kerjasama Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) dijangka menarik 200,000 pengunjung.

Bertemakan ‘Membudayakan Khazanah Warisan Kita’, PeliTer@KSNT 2025 bukan sekadar meraikan tradisi pelita raya, tetapi turut memelihara warisan lama dengan menjadikannya sebahagian budaya daripada kehidupan moden, sekali gus menghargai dan mempromosikan warisan budaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, tahun ini, program pelita raya dipindahkan ke Kompleks Sukan Negeri Terengganu bagi memberikan lebih banyak ruang kepada peserta dan pengunjung.

Beliau berkata, pemilihan lokasi baharu itu dibuat bagi mengatasi isu kesesakan dan keselesaan pengunjung dengan stadium dipilih sebagai lokasi kerana kawasannya yang luas, kemudahan aksesibiliti dan suasana lebih selesa.

“Jika sebelum ini ada yang mengadu tentang asap yang mengganggu, insya-Allah kita sudah beri tempat besar sekali gus memberi sedikit kelainan,” katanya dalam satu sidang media sempena program Pelita Raya Terengganu 2025 (PeliTer@KSNT 2025), di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridwan Abdul Rahman serta Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani.

Menurutnya, program tahun ini akan menggabungkan penggunaan pelita tradisional dan moden, iaitu 50 peratus pelita minyak tanah dan 50 peratus pelita LED bagi menampilkan gabungan elemen klasik dan inovatif. 

Beliau berkata, PeliTer@KSNT 2025 turut mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya menerima penyertaan dari negara luar termasuk Thailand, Myanmar, Indonesia, Nepal, Bangladesh serta beberapa negara Timur Tengah.

“Negara-negara ini akan mempamerkan versi pelita raya mereka mengikut tradisi negeri dan negara masing-masing. Sebagai percubaan, kami hanya meminta penyertaan mereka, manakala segala kelengkapan akan disediakan oleh pihak kerajaan dan Jabatan Pelancongan,” katanya.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, program kali ini juga akan menyaksikan penyertaan daripada semua negeri di Malaysia, dengan negeri Kelantan dan Perlis menghantar kontinjen untuk bertanding dalam kategori GLC.

Lapan daerah di Terengganu serta pelbagai agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga akan menyertai pertandingan ini, termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Terengganu (SATU), Majlis Sukan Negeri Terengganu, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, KETENGAH, Muzium Negeri dan lain-lain.

Katanya, masyarakat Cina Peranakan, India dan Orang Asli di Terengganu turut diundang untuk memeriahkan acara ini sebagai simbol perpaduan budaya. 

Selain pertandingan pelita raya, beliau berkata, PeliTer@KSNT 2025 turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik bagi pengunjung, termasuk aktiviti jet ski di tasik berhampiran yang disertakan dengan pembantu pemandu bagi menjaga keselamatan. 

“Kita juga ada aktiviti Bot pedal (paddle boat)  seperti bot angsa, kita ada enam buah yang akan ditempatkan dalam tasik. Jadi banyak aktiviti-aktiviti sampingan tambahan untuk tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah penyelenggaraan dan kebersihan lokasi, tiket masuk akan dikenakan sebanyak RM2 bagi pengunjung dewasa, manakala kanak-kanak, OKU dan pelancong luar negara diberikan kemasukan percuma. 

“Bayaran ini bukan untuk keuntungan negeri, tetapi untuk memastikan lokasi acara dijaga dengan baik,” jelasnya. 

Beliau berkata, program itu juga menjadi sebahagian daripada usaha menyokong Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan bakal diangkat sebagai acara tahunan rasmi dalam kalendar pelancongan negara. 

“PeliTer@KSNT 2025 merupakan satu medium untuk kita mempromosikan negeri Terengganu dengan kehadiran semua negeri dan beberapa negara Islam kita dapat menterjemahkan program pelita raya ini ke seluruh dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2025

- Advertisement -