Beras campur: Kadar zakat fitrah akan dikaji semula

- Advertisement -

ALOR SETAR: Jabatan Mufti Kedah akan mengkaji semula kadar zakat fitrah pada masa akan datang susulan isu beras putih import dicampur dengan beras putih tempatan.

- Advertisement -

Mufti Kedah, Datuk Paduka (Dr) Fadzil Awang berkata, isu campuran beras import dan tempatan ini sudah lama berlaku, namun setakat ini, belum ada kajian mendalam dijalankan.

“Sehingga kini juga tiada kajian menyeluruh yang dilakukan bagi menentukan kesannya terhadap kadar zakat fitrah walaupun perkara itu sudah lama berlaku,” katanya di sini.

Berikutan itu ujar beliau, langkah pertama yang akan diambil oleh pihaknya adalah menentukan nisbah campuran sama ada beras tempatan lebih banyak daripada beras import, atau sebaliknya.

Dalam masa yang sama pihaknya juga kata beliau, akan menunggu laporan terperinci daripada agensi kerajaan berkaitan, sebelum membuat sebarang cadangan.

Tegas beliau lagi, antaranya langkah-langkah untuk melihat secara lebih terperinci bagaimana cara mencampur antara beras tempatan dengan beras import itu dilakukan.

“Kita mengikuti perkembangan di peringkat pusat, Jadi, setelah melihat apa yang akan dilakukan di sana dan kriteria-kriteria yang akan diperlukan.

“Baharulah kita di sini akan menyusuli melihat dan memberi pandangan,” katanya lagi.

Rabu lalu, Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melaporkan terdapat kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa dicampur dengan beras putih tempatan.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata penentuan kadar zakat fitrah berdasarkan gred beras akan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Majlis Agama Islam masing-masing.

Kadar bagi negeri di Semenanjung Malaysia dikira berdasarkan harga beras putih tempatan, diukur mengikut kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras . – HARAKAHDAILY 6/3/2025

- Advertisement -