
KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mencadangkan peruntukan kepada bukan bumiputera dinaikkan kepada 10 peratus daripada keseluruhan peruntukan diagihkan kepada bumiputera adalah tidak praktikal.
Ketua Penerangan PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari berkata, bumiputera sebaliknya wajib terus dibantu kerana masih ketinggalan dan memerlukan sokongan, manakala bukan bumiputera yang miskin pula tidak boleh dipinggirkan.
“Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM 2022), pendapatan isi rumah purata bulanan mengikut kaum adalah Bumiputera RM5,420; Cina: RM8,477 dan India RM7,150.
“Jelas, pendapatan purata bumiputera masih jauh lebih rendah. Beza dengan kaum Cina lebih RM3,000 sebulan. Setahun sudah lebih RM36,000. Ini bukan jurang kecil.
“Itu belum lagi bincang bab senarai 10 orang terkaya di Malaysia, yang membuktikan ‘bukan bumiputera dipinggir?” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Tambah beliau, laporan terkini menunjukkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia hanya 21 peratus pada 2023, berbanding bukan bumiputera sebanyak 29.5 peratus dan pelabur asing.
“Walhal, bumiputera adalah 69.9 peratus daripada populasi negara. Kalau ada pihak yang mendakwa bumiputera sudah cukup kuat dalam ekonomi, angka ini jelas membuktikan sebaliknya,” ujarnya.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menegaskan bahawa golongan bumiputera merupakan yang paling ramai dalam golongan miskin, dengan data daripada DOSM (2022) menunjukkan Bumiputera sebanyak 7.9 peratus, manakal Cina 1.9 peratus dan India 5.4 peratus.
“Maknanya, dalam 100 orang bumiputera, hampir lapan orang masih dalam kemiskinan mutlak. Jauh lebih ramai berbanding bukan bumiputera. Bila bantuan kepada bumiputera dipertikaikan, ini bermakna mereka mahu biarkan golongan majoriti miskin ini terus terpinggir?
“Tak ada siapa menafikan bahawa bukan bumiputera miskin juga wujud dan mereka juga wajib dibantu. Sebab itu, program seperti STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan BSH (Bantuan Sara Hidup) diberikan mengikut pendapatan, bukan kaum.
“Maka, kalau ada yang guna hujah ‘bantuan hanya untuk bumiputera’, itu hanyalah manipulasi fakta. Yang betulnya, bumiputera perlu diberi sokongan tambahan kerana jurang yang masih wujud, tapi dalam masa yang sama, bukan bumiputera miskin tetap ada hak untuk dibantu,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025




















