8,000 pek kuih raya untuk pasukan keselamatan

Wan Norhanita (dua dari kiri) mengetuai pembungkusan kuih raya bersama sebahagian anggota PURNAMA
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 8,000 pek kuih raya akan diagihkan kepada pasukan keselamatan di Kelantan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

- Advertisement -

Yang Dipertua PURNAMA, Datin Wan Norhanita Wan Yaakob berkata, sumbangan tersebut melibatkan 20 jabatan pasukan keselamatan yang akan diraikan dalam satu majlis khas sebelum Aidilfitri ini.

Menurutnya, penyampaian tersebut akan disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Kota Darulnaim pada tarikh yang akan ditetapkan nanti.

“Antara pasukan keselamatan yang bakal menerima sumbangan ini antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Pertubuhan Amal Dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat (PURNAMA) mengambil inisiatif ini sebagai tanda ingatan kepada pasukan keselamatan yang bertugas pada Aidilfitri.

Sambungnya, ketika mana umat Islam bersuka-ria menyambut Aidilfitri, namun pasukan keselamatan terpaksa pula bertugas demi menjaga keamanan negeri dan negara.

Tambahnya, sebanyak 40 petugas dari ahli PURNAMA dengan bantuan amilat telah terlibat dalam proses pembungkusan kuih raya tersebut yang bermula beberapa hari sebelum Ramadan.

“Sehubungan itu, PURNAMA merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menjayakan pembungkusan kuih raya ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada ahli jawatankuasa serta ahli-ahli PURNAMA, amilin dan amilat serta semua pihak yang turut membantu menjayakan usaha ini,” tambahnya.

Untuk rekod, PURNAMA telah menjayakan tanggungjawab pembungkusan kuih untuk anggota pasukan keselamatan di negeri ini  sejak tahun 1994 sehingga sekarang.

Antara kuih-muih yang disediakan untuk anggota keselamatan taun ini kek buahan, cookies, popia mini, serunding daging dan gula-gula yang diperbuat dari gula melaka. – HARAKAHDAILY 3/3/2025

- Advertisement -