
KOTA BHARU: Sebanyak 32 syarikat korporat, institusi kewangan, industri kecil dan sederhana dan perhotelan turut berganding bahu bagi menjayakan Madinah Ramadan tahun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan sumbangan oleh agensi dan individu.
Malah beliau berkata, kerajaan negeri akan melancarkan Tabung Ihya’ Madinah Ramadan bagi membuka peluang kepada orang ramai untuk bersama-sama menjayakan hasrat itu.
“Pelancaran Tabung Ihya’ Madinah Ramadan kali ini akan disempurnakan Dato’ Panglima Perang Menteri Besar sempena kuliah mingguan pada pagi Jumaat di Medan Ilmu esok.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja korporat yang telah menyumbang dalam memastikan kelancaran majlis ini,” katanya dalam satu hantaran.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu menghadiri Majlis Hi-Tea bersama Penaja Korporat Madinah Ramadan di Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.
Majlis itu dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Amar Abdullah, mewakili kerajaan negeri bagi menerima sumbangan entiti perniagaan dan institusi kewangan.
Turut hadir Yang Dipertua MPKB-BRI, Azi Rahimee Mohamed; Ketua Whip MPKB-BRI, Muhammad Abdul Munib Assyakirin Zakaria dan Timbalan, Mohamad Nuri Mat Yaacob.
Hilmi turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Program Madinah Ramadan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sebagai urus setia pelaksana.
Program Madinah Ramadhan 2025 dikelola MPKB-BRI dijangka bermula 2 Mac berlangsung sehingga 31 April depan yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV. – HARAKAHDAILY 27/2/2025





















