Ramadan: Tawarkan harga juadah secara berpatutan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Peniaga bazar Ramadan di negeri ini disaran menawarkan harga juadah yang berpatutan bagi memastikan keselesaan pengguna sepanjang bulan mulia ini.

- Advertisement -

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, peniaga perlu menjalankan perniagaan secara beretika dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.

Menurutnya, kerajaan negeri berharap semua peniaga untuk menetapkan harga jualan yang berpatutan.

“Berusahalah mencari rezeki sambil beramal,” katanya pada media ketika ditemui  selepas Mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Menurutnya, pemantauan berterusan akan dilakukan oleh pihak berkuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan harga juadah di bazar Ramadan kekal berpatutan.

Tambah ADUN Guchil itu lagi, sekiranya terdapat aduan berhubung kenaikan harga yang tidak munasabah, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap peniaga terlibat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Jabatan Kesihatan juga akan menjalankan penguatkuasaan berkala bagi memastikan peniaga serta penyedia makanan bebas daripada sebarang penyakit.

“Semua peniaga, terutamanya tukang masak dan penyedia makanan, digalakkan mendapatkan suntikan kesihatan bagi mencegah penyakit seperti typhoid,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai program Madinah Ramadan, kerajaan negeri menganjurkan majlis hi-tea di Dewan Teratai, Kota Darulnaim semalam bagi meraikan penaja korporat Madinah Ramadan.

Jelasnya program itu akan dirasmikan Speaker Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ (Dr) Mohd Amar Abdullah.

“Pada Jumaat, 28 Februari jam 8:30 pagi, kuliah pagi Jumaat akan disampaikan Ustaz Azhar Idrus, diikuti pelancaran Tabung Ihya’ Ramadan oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Sehubungan itu beliau menyeru orang ramai hadir pada program berkenaan Jumaat ini. – HARAKAHDAILY 27/2/2025

- Advertisement -