
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dicadangkan supaya memperkasa peranan penghibur jalanan dengan menjadikan mereka sebagai ‘anak angkat’ serta menyediakan pakaian lebih menarik seperti batik bagi mempromosikan budaya Malaysia.
Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) turut mencadangkan agar penghibur jalanan diberi bayaran atau royalti sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam menceriakan suasana bandar serta menarik pelancong, bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara.
“Saya melihat buskers bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi juga di bandar-bandar lain, contohnya di Langkawi kita ada pemuzik yang memainkan alat tradisional seperti gambus yang menjadi tarikan utama di Pantai Cenang.
“Begitu juga di Bukit Bintang, Bob penyanyi terkenal sering menarik pelancong untuk bersama-sama menyanyi dengannya,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, buskers di lokasi tertentu seperti stesen kereta api dan lapangan terbang sering kurang diberi perhatian dalam aspek pemakaian dan penampilan.
Justeru, beliau mencadangkan agar DBKL membimbing golongan ini dengan memperkenalkan konsep pemakaian yang lebih menarik, termasuk menampilkan batik sebagai elemen budaya negara.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, menyambut baik cadangan yang dikemukakan dan bersedia meneliti mekanisme bagi mempertingkatkan taraf penghibur jalanan di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain.
“Kami sedang mengumpulkan input lain yang boleh membantu meningkatkan taraf penggiat seni jalanan ini. Contohnya, pemakaian yang lebih kemas dan menarik, seperti batik adalah cadangan yang baik untuk mempromosikan budaya negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2025











