Madinah Ramadan dijangka terima 100,000 pengunjung

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan menjangkakan seramai 100,000 pengunjung akan hadir memeriahkan Madinah Ramadan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini yang akan beroperasi sepanjang Ramadan ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, antara pengisian yang akan dilaksanakan selain berbuka puasa adalah solat sunat tarawih.

Jelas beliau, ia yang akan diimamkan oleh dua imam baru dari Mesir iaitu Syeikh Mohammed Sobhy Gomaa Elsheikh serta Syeikh Ayman Adel Mostafa Abdelhafeez Mohamed.

Menurutnya, sebanyak RM1.8 juta diperuntukan untuk penyediaan sepanjang program di Madinah Ramadan tahun ini.

“Jumlah kos tahun ini agak bertambah berbanding tahun-tahun sudah kerana tahun ini Madinah Ramadan bertemakan ‘Dua Dekad Kota Bharu Bandar Raya Islam’.

“Sempena program ini pameran dilaksanakan berkonsepkan muzium yang membabitkan sejarah negeri ini akan dipamerkan kepada pengunjung. Malah, pekarangan stadium ini mampu menempatkan 1,500 jemaah pada satu-satu masa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak dan kemah Bazar Ramadan, di sini kelmarin.

Hilmi memberitahu, menyentuh soal kemajuan untuk menyediakan Madinah Ramadan telah mencapai 70 peratus termasuk kesediaan tapak, pemasangan khemah dan sebagainya.

Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan berlakunya lambakan sampah pada bulan Ramadan, Hilmi berkata unit pengurusan sampah negeri akan bekerja lebih masa dalam usaha untuk menjaga kebersihan di kawasan terlibat.

“Kita harap peniaga bazar sentiasa menjaga kebersihan sekitar gerai dan tidak memanaskan semula makanan yang dijual bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2025

- Advertisement -