
KOTA BHARU: Peniaga bazar Ramadan di Kelantan diingatkan supaya tidak menjual makanan yang dipanaskan semula, apatah lagi yang sudah basi atau tidak selamat untuk dimakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, peringatan itu bertujuan memastikan kualiti serta keselamatan makanan yang dijual kepada orang ramai sentiasa terjamin.
Katanya, peniaga bukan sahaja perlu menjual makanan yang segar, malah perlu menjaga kebersihan bagi memastikan menu disediakan selamat untuk pengguna.
“Kami ingin mengingatkan semua peniaga bazar Ramadan agar memastikan makanan yang dijual adalah segar dan baru dimasak pada hari yang sama.
“Menjual makanan yang dipanaskan semula, apatah lagi yang sudah basi, bukan sahaja melanggar peraturan tetapi juga boleh membahayakan kesihatan pembeli,” katanya selepas lawatan ke tapak persiapan Madinah Ramadan di sini, kelmarin.
Turut hadir dalam sesi lawatan itu ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Azi Rahimee Mohamed dan Pengarah Pembangunan Islam MPKB-BRI, Mohd Hafeez Ab Samad.
Hilmi berkata, bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan ini, kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan bagi memantau serta menguatkuasakan standard penyediaan makanan yang sebenar di bazar Ramadan.
Katanya, pegawai kesihatan akan menjalankan pemeriksaan berkala di semua bazar bagi memastikan peniaga mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan, termasuk kemungkinan pembatalan lesen perniagaan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar membuat aduan sekiranya terdapat peniaga yang tidak mematuhi peraturan.
“Kerjasama antara pengguna dan pihak berkuasa adalah penting dalam memastikan keselamatan makanan di bazar Ramadan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2025











