Anugerah suntik semangat penggiat industri perhotelan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Program Meraikan Pemain Industri Pelancongan Dalam Kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) berjaya meningkatkan motivasi kerja dalam kalangan penggiat sektor pelancongan, khususnya industri perhotelan.

- Advertisement -

Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kelantan, Muhammad Azrin Zainal Abidin melahirkan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan kepada penggiat perhotelan di negeri ini.

Menurutnya, sektor pelancongan dan perhotelan sememangnya tidak dapat dipisahkan dan hubungan baik dengan MPKB-BRI akan terus diperkukuhkan bagi menjalin kerjasama yang lebih erat.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Malam Meraikan Pemain Industri Pelancongan Dalam Kawasan MPKB-BRI, di sini.

Sempena majlis itu, Azrin menerima Anugerah Khas Perhotelan – Ikon Perhotelan, yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah.

Mengulas lanjut Azrin berkata, anugerah khas yang diterimanya amat bermakna kerana ia merupakan penghargaan kepada seluruh warga perhotelan dan pelancongan di negeri Kelantan.

“Saya ucapkan terima kasih atas penghargaan yang diberikan pada malam ini,” katanya berharap anugerah seperti itu akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi memberi motivasi serta inspirasi kepada pekerja hotel untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada tetamu.

Menurutnya, anugerah itu merupakan pengiktirafan pertama yang diterimanya sejak berkecimpung dalam industri perhotelan hampir 30 tahun lalu.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam bidang ini, Azrin berkata beliau memulakan kerjayanya sebagai ‘bellman’ (pengangkat beg) dan ‘doorman’ (pembuka pintu) sebelum akhirnya dilantik sebagai Pengurus Jewels Hotel.

Beliau turut menegaskan bahawa program sebegini dapat memberikan semangat kepada warga kerja perhotelan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada tetamu.

“Bagi saya, anugerah ini sangat bermakna dan sebagai Naib Pengerusi MAH Kelantan, kami akan terus bersama MPKB-BRI dalam merangka pelbagai program khususnya di peringkat negeri,” katanya.

Tambahnya, sektor pelancongan dan perhotelan memang tidak dapat dipisahkan, dan hubungan dengan MPKB-BRI akan terus diperkukuhkan bagi menjalin kerjasama lebih baik pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 21/2/2025

- Advertisement -